Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Mafia korporat: Penguatkuasaan meningkat dua hingga tiga kali ganda – Anwar

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan terhadap jenayah korporat meningkat dua hingga tiga kali ganda sejak 2023 berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tindakan itu melibatkan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, jenayah korporat merangkumi pengambilalihan syarikat tersenarai secara tidak sah, manipulasi pasaran saham, pelanggaran pendedahan korporat serta kegiatan pinjaman wang haram yang disertai ugutan.

“Sejak 2023, penambahan tindakan itu dua, tiga kali ganda daripada sebelumnya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (Port Dickson) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, SC memulakan 239 pertuduhan jenayah terhadap 50 individu sebagai sebahagian daripada peningkatan tindakan penguatkuasaan, termasuk siasatan berkaitan urus niaga syarikat yang dikaitkan dengan kes berprofil tinggi.

Beliau turut memaklumkan bahawa operasi membanteras pengubahan wang haram sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan 70 individu disiasat, selain pembekuan dan penyitaan pelbagai aset serta akaun bernilai jutaan ringgit.

Menurutnya, bagi tempoh akhir 2022 hingga September 2026, tindakan berkaitan pengubahan wang haram berjaya membekukan aset berjumlah RM4.3 bilion, menyita RM1 bilion, melucut hak RM48.3 juta dan mengenakan kompaun RM1.1 bilion.

“Kes-kes yang melibatkan salah guna kuasa dan pelanggaran hukum dalam kegiatan perniagaan dan korporat tidak ditolak ansur,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Aminuddin mengenai kerjasama rentas sempadan dan keperluan meminda undang-undang, Anwar berkata, undang-undang sedia ada di bawah bidang kuasa BNM, SC, PDRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan SPRM dianggap mencukupi.

Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan lebih tegas memerlukan komitmen politik yang jelas serta kebebasan agensi penguatkuasaan menjalankan siasatan tanpa campur tangan.

Beliau turut mengesahkan agensi berkaitan bekerjasama dengan badan antarabangsa bagi menangani jenayah yang melangkaui sempadan negara, manakala Rang Undang-Undang berkaitan perusahaan milik kerajaan (State-Owned Enterprise Act) dijangka dibentangkan akhir tahun ini atau awal tahun depan.

“Pendirian kita, apa sahaja maklumat diperoleh tanpa kecuali harus didedahkan dan dijalankan siasatan seperti yang diperlukan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE