Read Time:1 Minute, 18 Second
KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan kegiatan mafia korporat sebagai kenyataan politik yang tidak disandarkan kepada bukti.
Perdana Menteri berkata, menteri berkenaan juga telah menjawab serta mencabar dakwaan itu melalui saluran mahkamah.
“Yang dibangkitkan tentang menteri RM9.5 juta, itu kenyataan politik tidak disandarkan apa-apa keterangan, dan menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dan bawa urusan itu ke mahkamah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai sejauh mana siasatan dijalankan terhadap individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan mafia korporat, termasuk dakwaan membabitkan seorang menteri.
Rosol turut mempersoalkan sama ada wang RM9.5 juta yang didakwa itu termasuk dalam sitaan pihak berkuasa atau mempunyai bentuk lain.
Anwar menegaskan, semua dakwaan perlu melalui proses siasatan dan pendakwaan sebelum sebarang kesimpulan dibuat, serta tiada pihak sepatutnya dihukum berdasarkan dakwaan semata-mata.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan tidak akan mengecualikan mana-mana individu berdasarkan keahlian politik, termasuk anggota partinya sendiri.
“Siapa yang sakau? Termasuk kalau dalam parti saya pun, jalankan. Malah seperti yang Yang Berhormat tahu, ada kes-kes pendakwaannya melibatkan ahli-ahli parti Keadilan,” katanya.
Menurut Anwar, beliau tidak akan menggunakan kuasanya untuk menghalang siasatan atau pendakwaan, termasuk terhadap bekas setiausaha politiknya.
Perdana Menteri turut membangkitkan pengendalian kes korporat terdahulu, termasuk Serba Dinamik, yang menurutnya tidak diambil tindakan sewajarnya meskipun membabitkan kerugian besar kepada syarikat dan pemegang saham.
“Kalau ada kes, saya tidak nak tutup. Kalau ada bukti, dedahkan. Ini perbezaannya,” katanya.





