Read Time:1 Minute, 11 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berada di galeri awam Mahkamah bagi mengikuti prosiding inkues kematian anak tunggalnya.
Koroner Amir Shah Amir Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat berhubung kehadiran Noraidah Lamat di galeri awam.
Amir Shah berkata, sekiranya terdapat permohonan untuk memanggil semula Noraidah sebagai saksi, mahkamah akan meneliti alasan permohonan itu sebelum membuat keputusan.
Noraidah merupakan saksi ke-82 dalam inkues berkenaan dan telah selesai memberikan keterangan pada petang kelmarin.
Noraidah hadir bersama iparnya, Nur Shira Abdullah, yang sebelum ini memberikan keterangan sebagai saksi ke-71 dalam inkues berkenaan.
Prosiding kini sedang mendengar keterangan pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Wong Yew Zhung sebagai saksi ke-83.
Terdahulu, Pegawai Pengendali Nahra Dollah membantah kehadiran Noraidah di galeri awam ketika prosiding berlangsung.
Beliau menyuarakan kebimbangan bahawa kehadiran Noraidah boleh menimbulkan prejudis sekiranya wanita itu dipanggil semula sebagai saksi.
Bagaimanapun, peguam Datuk Rizwandean M Borhan, yang mewakili Noraidah, antara lain berhujah bahawa tiada isu prejudis memandangkan anak guamnya sudah selesai memberikan keterangan.
Beliau turut berkata Noraidah merupakan pihak berkepentingan dalam inkues itu dan mempunyai hak untuk mengikuti prosiding mahkamah.
Sementara itu, peguam Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip, yang mewakili bapa Zara, bersetuju dengan hujahan Rizwandean.
Menurut Nurul, Noraidah masih boleh mengetahui keterangan saksi melalui laporan berita walaupun tidak berada di mahkamah, justeru tiada perbezaan sama ada beliau berada di galeri awam atau sebaliknya.





