Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Saya tidak pernah halang Zara jumpa atau hubungi bapanya – Ibu Zara

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia tidak pernah menghalang anaknya daripada berhubung atau berjumpa dengan bapanya.

Noraidah Lamat berkata, sepanjang Zara tinggal bersamanya, anaknya itu berhubung dengan Mahathir Mohd Hashim menerusi panggilan telefon dan WhatsApp.

Katanya, ketika berusia kira-kira enam tahun pada 2018, Zara sudah boleh merakam suara dan menghantar WhatsApp sendiri kepada bapanya.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021, Noraidah menyediakan telefon bimbit kepada Zara yang memudahkan Mahathir menghubungi anaknya pada bila-bila masa.

“Zara kerap menghubungi Mahathir untuk berbincang tentang pelajaran dan perkara lain yang ingin dikongsikannya. Berdasarkan apa yang saya dengar dan ketahui, Mahathir melayan Zara dengan baik,” katanya ketika membaca pernyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Noraidah berkata, kali terakhir Zara bersemuka dengan bapanya sebelum kejadian adalah pada Oktober 2019 ketika anaknya berada dalam Darjah Satu dan berusia tujuh tahun.

Selepas itu, katanya, Zara dan Mahathir terus berhubung melalui WhatsApp.

“Saya tidak pernah menghalang Zara daripada berhubung atau berjumpa dengan bapanya,” katanya.

Menurut Noraidah, Zara sudah terbiasa dengan keadaan bapanya yang bekerja di luar Sipitang dan tidak pernah mempersoalkan ketiadaan Mahathir di rumah kerana keadaan itu sudah menjadi lumrah sejak dia kecil.

Katanya, Zara juga tidak pernah mengadu atau meluahkan rasa tidak puas hati kepadanya mengenai bapanya.

Zara turut mempunyai hubungan baik dengan datuk dan nenek sebelah bapanya yang sering datang menemuinya serta mengajak Zara ke rumah mereka di Sipitang.

Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos 2025 sebelum bedah siasat dilakukan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.

Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberi nama samaran Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan perbicaraan kes itu masih berjalan.

LEAVE A RESPONSE