Read Time:1 Minute, 59 Second
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran membentangkan laporan kemajuan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah secara berkala di Parlimen bagi memastikan perkembangan projek itu dapat dipantau dengan lebih telus.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata mekanisme berkenaan penting bagi membolehkan wakil rakyat serta rakyat Sabah mengetahui status sebenar pelaksanaan projek berkenaan.
Berucap ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan juga perlu mengambil tindakan susulan terhadap teguran dan penemuan audit berkaitan projek Pan Borneo Sabah.
Katanya, satu mekanisme pemantauan khas yang lebih tersusun perlu diwujudkan dengan mengambil kira garis masa, sasaran setiap pakej, status pengambilan tanah, pembayaran pampasan, variation order, status kontrak serta kemajuan fizikal projek.
“Kita perlu ada mekanisme pemantauan khas Pan Borneo Sabah yang lebih tersusun — dengan garis masa, sasaran setiap pakej, status pengambilan tanah, status pampasan, status variation order, status kontrak dan kemajuan fizikal,” katanya.
Menurut Matbali, LKAN mendedahkan pelbagai kelemahan dalam aspek perancangan dan pelaksanaan projek Pan Borneo Sabah.
Beliau berkata projek berkenaan telah dirancang sejak sekian lama dan pengurusannya turut bertukar tangan sebelum diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya pada September 2019.
Namun, katanya, sehingga 31 Mac lalu, projek berkenaan masih belum dapat disiapkan sepenuhnya.
“Maka persoalannya mudah berapa lama lagi rakyat Sabah perlu menunggu? Berapa lama lagi rakyat Sabah perlu bersabar? Berapa lama lagi jalan yang dijanjikan akan menjadi jalan yang benar-benar boleh digunakan?” katanya.
Matbali berkata, projek Pan Borneo amat penting kepada Sabah bukan sahaja dari aspek perhubungan, malah sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, kawasan Sipitang antara yang terkesan dengan kelewatan pelaksanaan projek itu, khususnya jajaran Sindumin-Melalia-Beaufort.
“Jajaran ini sehingga kini masih belum siap sepenuhnya, sedangkan Sipitang merupakan pintu masuk ke Sabah, baik dari Sarawak, mahupun dari Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Beliau berkata kelewatan projek berkenaan tidak seharusnya berlarutan kerana rakyat Sabah telah lama menantikan kemudahan jalan raya yang lebih baik dan selamat.
Mengakhiri perbahasannya, Matbali turut mendeklamasikan sebuah puisi yang menyentuh mengenai kelewatan projek Pan Borneo serta kesannya terhadap rakyat dan pemimpin.
Antara bait puisi yang disampaikan ialah:
“Sudah lama saya berkata-kata
Berbuih mulut merayu dan meminta
Hampir lima tahun menunggu lama
Pan Borneo masih tidak menjadi nyata
Banyak jajaran belum sempurna
Kini pilihan raya sudah di ambang mata
Mohonlah para bintara yang bijaksana
Tuntaskan segera sebelum masanya tiba
Jangan rakyat terus merana
Memendam rasa kecewa
Kelak nantinya YB yang menjadi mangsa.”





