Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Semua pihak perlu bergerak seiring bagi menggerakkan momentum pembangunan Sabah supaya setiap perancangan yang dirangka dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata momentum pembangunan negeri kini berada pada landasan positif dengan pelbagai agenda pembangunan sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Katanya, Sabah juga kini mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas, namun kejayaan agenda pembangunan memerlukan penglibatan sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat.
“Momentum pembangunan negeri mesti digerakkan bersama oleh semua pihak. Sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat perlu bergerak seiring untuk memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada 1st Borneo International Congress for Business, Education, Economics & Management (BICBEEM) 2026 di sini, hari ini.
Azrul berkata, pendidikan dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan institusi pendidikan berperanan melahirkan modal insan berkualiti, manakala sektor perniagaan pula perlu berani meneroka peluang baharu.
Menurutnya, ekosistem yang menggalakkan inovasi, pelaburan dan keusahawanan juga perlu terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta pembangunan modal insan di Sabah.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan dan potensi besar sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi Borneo, namun potensi itu perlu disokong kesatuan arah, kerjasama kukuh dan kesungguhan semua pihak untuk melaksanakan perancangan yang telah dirangka.
“Kita tidak mahu sekadar bercakap mengenai potensi Sabah. Kita mahu potensi itu diterjemahkan menjadi peluang, pelaburan, pekerjaan, ilmu dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya.
Azrul berkata, momentum pembangunan negeri sudah tersedia dan pelbagai perancangan sedang dilaksanakan, justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan usaha pembangunan Sabah dapat digerakkan secara bersepadu ke arah negeri yang lebih maju, berjaya dan sejahtera.





