Read Time:1 Minute, 12 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ditemui maut selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum dia tercampak keluar dan dihanyutkan arus deras di Jalan Pan Borneo Inanam, berhampiran simpang masuk Kampung Kawakaan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, berkata pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah kira-kira jam 10.50 pagi hari ini berhubung penemuan mayat seorang lelaki di kawasan Kampung Kawakaan, Inanam.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang semalam (1 Oktober) , apabila Honda WR-V dipandu mangsa dari arah Penampang menuju ke Menggatal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan, melanggar penghadang jalan dan terjunam ke dalam parit.
“Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras.
“Operasi mencari dan menyelamat oleh pihak bomba terpaksa dihentikan sementara pada malam kejadian berikutan keadaan cuaca dan arus deras sebelum disambung semula pada pagi 2 Oktober,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrudin berkata, mangsa kemudian ditemukan tersangkut pada kayu di dalam sungai, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran.





