Read Time:1 Minute, 26 Second
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) akan melabur kira-kira RM120 juta bagi membangunkan barisan pengeluaran kedua di Loji Teluk Sepanggar bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran serta memperkukuh kestabilan bekalan simen di Sabah.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf berkata, barisan pengeluaran baharu itu mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak 550,000 tan metrik setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2028.
Katanya, projek berkenaan telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah CIS, manakala sebuah firma perunding kejuruteraan turut dilantik bagi menyediakan khidmat perundingan sepanjang pelaksanaan projek.
“Barisan pengeluaran kedua ini penting bagi membolehkan CIS memenuhi peningkatan permintaan simen, selain memastikan pengeluaran dan bekalan simen beg 50 kilogram (kg) dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan pada salah satu barisan pengeluaran.
“Ia juga akan berfungsi sebagai barisan sokongan, menyediakan kapasiti penyimpanan bahan mentah tambahan serta memberi ruang mencukupi untuk kerja penyelenggaraan loji dilaksanakan dengan lebih cekap dan teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Sumardi berkata, bekalan simen beg 50kg di kawasan Pantai Barat Sabah ketika ini masih mengalami gangguan susulan kelewatan penghantaran klinker, iaitu bahan mentah utama dalam pengeluaran simen.
Katanya, gangguan berkenaan berpunca daripada insiden sebuah kapal pengangkut klinker yang terkandas ketika melalui laluan menuju ke laut terbuka berhampiran Pelabuhan Tanjung, Kalimantan Selatan.
Menurutnya, kapal terbabit telah selesai memuatkan kira-kira 20,000 tan metrik klinker sebelum insiden berlaku, menyebabkan penghantaran bahan mentah berkenaan tidak dapat tiba mengikut jadual.
“Penghantaran gantian klinker dijangka tiba pada minggu kedua Oktober 2026 dan ini dijangka membantu proses pemulihan pengeluaran serta bekalan simen secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata, pelaburan RM120 juta bagi pembangunan barisan pengeluaran kedua itu merupakan antara langkah jangka panjang CIS untuk memperkukuh kapasiti dan daya tahan operasi, sekali gus memenuhi keperluan bekalan simen serta menyokong pembangunan Sabah.





