Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah perkukuh industri akuakultur, bantu pengusaha ternak udang

Read Time:2 Minute, 57 Second

BEAUFORT: Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) akan terus memperkukuh industri akuakultur di Sabah dengan menyediakan bantuan benih udang, kemudahan penyimpanan dan pemprosesan serta sokongan teknikal bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pengusaha.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam membantu pengusaha tempatan mengembangkan perusahaan ternakan udang yang mempunyai potensi pulangan tinggi.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan projek ternakan udang di Kampung Bintuka, Beaufort, pada Jumaat bersama Pembantu Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Menurutnya, kawasan berkenaan kini diusahakan kira-kira enam pengusaha dengan keluasan keseluruhan sekitar 50 ekar yang menghasilkan udang segar untuk pasaran Kota Kinabalu dan Brunei.

“Pengusaha di sini berjaya menghasilkan udang yang memenuhi piawaian pasaran, termasuk untuk restoran makanan laut di Kota Kinabalu.

“Hari ini saya datang untuk melihat sendiri keperluan mereka dan sebagai permulaan, kerajaan akan membantu menyediakan sebanyak 500,000 benih udang bagi kegunaan kolam-kolam sedia ada di kawasan ini,” katanya kepada media.

Jamawi berkata, MAFFI turut bersetuju membantu menyediakan kemudahan penyimpanan dan pemprosesan udang secara berpusat yang boleh digunakan secara bersama oleh semua pengusaha di kawasan berkenaan.

Katanya, sebuah tapak yang sesuai telah dikenal pasti bagi pembinaan kolam simpanan dan bilik sejuk (cold room) bagi memastikan hasil tuaian dapat dikendalikan dengan lebih sistematik dan teratur.

“Ketika musim menuai, ada kalanya sebahagian hasil tidak dapat diambil segera oleh pembeli. Dengan adanya kemudahan ini, pengusaha boleh menyimpan hasil mereka dengan lebih baik sebelum dipasarkan.

“Ia juga membantu mengekalkan kesegaran dan kualiti udang untuk tempoh yang lebih lama, malah sistem penyimpanan yang dicadangkan mampu mengekalkan kualiti produk sehingga sebulan,” katanya.

Beliau berkata, sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu menjana pendapatan yang tinggi sekiranya diurus secara sistematik dan berdaya maju.

Menurutnya, sebuah kolam ternakan mampu menghasilkan sehingga 10 tan udang dengan nilai pengeluaran mencecah kira-kira RM250,000 bagi setiap kolam.

“Sebab itu saya sentiasa menekankan bahawa sektor pertanian, perikanan dan penternakan mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha, khususnya penduduk luar bandar, jika diusahakan dengan baik dan terancang,” katanya.

Jamawi turut melahirkan rasa syukur kerana pengusaha di Kampung Bintuka terus bersemangat meneruskan aktiviti ternakan udang walaupun industri itu berdepan pelbagai cabaran di beberapa kawasan lain.

“Saya mendapati kebanyakan pengusaha di sini masih mempunyai semangat yang kuat untuk terus mengusahakan ternakan udang. Di tempat lain, ada yang berdepan masalah penyakit, bekalan air dan faktor-faktor lain sehingga menjejaskan operasi mereka.

“Namun di sini keadaannya agak baik dan terdapat pegawai Jabatan Perikanan yang sentiasa membantu serta memantau keperluan pengusaha,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan Sabah (DOF) juga telah diarahkan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha bagi mengenal pasti keperluan tambahan yang boleh dibantu kerajaan.

Antara keperluan yang dibangkitkan ialah penyediaan peralatan pengudaraan atau kipas kolam bagi meningkatkan kualiti ternakan dan kadar kelangsungan hidup udang.

“Peruntukan untuk keperluan itu memang ada di Jabatan Perikanan. Saya mahu pelaksanaannya dibuat secara lebih teratur dan jika sempat kita laksanakan tahun ini, jika tidak ia akan dibawa ke tahun hadapan untuk dilaksanakan seawal mungkin,” katanya.

Beliau berkata, spesies yang diternak di kawasan berkenaan ialah udang putih (Penaeus vannamei), iaitu antara spesies paling popular dalam industri akuakultur dan mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan serta antarabangsa.

Terdahulu, Jamawi turut mengadakan lawatan ke Kampung Binsuluk bagi meninjau perusahaan belacan dan ikan bilis yang diusahakan penduduk setempat.

Turut hadir, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sumber, Konservasi dan Penyelidikan DOF, Irman Isnain; Ketua Bahagian Pembangunan Akuakultur Marin DOF, Moris Chong; serta Pegawai Perikanan Daerah Beaufort, Abdul Adnan Amna.

LEAVE A RESPONSE