Read Time:1 Minute, 40 Second
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mempunyai dua sabitan lampau kesalahan dadah dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun selepas mengaku salah sekali lagi atas kesalahan mengambil dadah.
Tertuduh, Mohd Mirdee Mandan, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama tiga tahun, selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, Mohd Mirdee telah memberikan kepada dirinya dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, kira-kira jam 10.45 pagi pada 3 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 39C(1) dan Seksyen 38B(1) akta sama.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh mempunyai dua sabitan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sabitan pertama direkodkan di Mahkamah Majistret Beaufort pada 16 Jun 2023 apabila dia didenda RM1,900 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Sabitan kedua pula direkodkan di mahkamah sama pada 11 September 2025 apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan bermula dari tarikh tangkap pada 19 Mei 2025 serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 39C(1), tertuduh berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih tujuh tahun serta sebatan tidak lebih tiga kali.
Manakala Seksyen 38B(1) memperuntukkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun selepas menjalani hukuman.
Ketika rayuan, Mohd Mirdee memohon hukuman diringankan, berjalan serentak dan dikira dari tarikh tangkap pada 3 Jun lalu.
Dia turut memohon supaya hukumannya dijalani sepenuhnya di Penjara Koreksional Labuan atas alasan keluarganya berada di sana bagi memudahkan mereka menziarahinya.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh pula memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam serta kesalahan dadah yang berleluasa di Sabah.
Pendakwaan turut meminta mahkamah mengambil kira bahawa tertuduh merupakan pesalah dadah berulang.





