Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Bomba selamatkan pelajar 13 tahun tersepit kaki pada gerigi longkang

Oleh Normimie Diun

PUTATAN: Perjalanan seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun ke sekolah bersama abangnya pagi tadi berdepan detik cemas apabila kakinya tersepit pada gerigi besi longkang di Lorong Sabindo Kinarut, di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Pegawai Bomba Kanan I Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem NG999 pada jam 10.50 pagi sebelum pasukan tiba di lokasi pada jam 10.57 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Beliau berkata, pasukan bomba mendapati mangsa tersepit pada gerigi besi longkang sebelum segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan Rescuetech Spreader.

“Walaupun tersepit, mangsa tidak menangis dan berada dalam keadaan terkawal ketika operasi menyelamat dijalankan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.

Menurutnya, kaki mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat pada kira-kira jam 10.59 pagi, iaitu kira-kira dua minit selepas operasi menyelamat dimulakan.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan disahkan selamat,” katanya.

Operasi yang melibatkan enam anggota BBP Putatan itu ditamatkan pada jam 11 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain dilaporkan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE