Read Time:1 Minute, 58 Second
KOTA MARUDU: Kolej Kemahiran Islam Sabah (KKIS) di Pusat Pusat Latihan Dakwah USIA – AlBukhary, Kampung Marasinsim, di sini, menjadi satu lagi landskap pendidikan baharu dalam latihan kemahiran di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata penubuhan kolej ini juga adalah satu usaha yang amat baik, tepat pada masanya dan relevan dengan keperluan semasa.
“Sudah pasti kolej ini memberi peluang kepada ramai anak-anak daripada institusi pondok, tahfiz dan pendidikan Islam di Sabah, meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran. Pelajar-pelajar tahfiz ini sudah mempunyai asas agama, hafazan dan nilai akhlak yang baik.
“Namun, dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar, mereka juga perlu diberikan kemahiran teknikal supaya mempunyai peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih luas. Kita mahu menggabungkan ilmu Islam dengan kemahiran teknikal dan vokasional, agar lepasan pondok dan tahfiz bukan sahaja mempunyai ilmu agama, tetapi juga mempunyai kemahiran yang diperlukan oleh industri dan pasaran pekerjaan.

“Kita mahu anak-anak Sabah, termasuk lepasan pondok dan tahfiz, mempunyai laluan pendidikan dan kemahiran yang jelas serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam menghadapi cabaran masa depan seperti Kecerdasan Buatan atau Al,” katanya pada Majlis Perasmian Kolej Kemahiran Islam Sabah atau KKIS, di Pusat Latihan Dakwah USIA – AlBukhary, Kampung Marasinsim, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.
Dalam pada itu Hajiji mahu kerjasama strategik Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan atau IKDAR akan terus diperkukuhkan.

“Ini bagi memastikan KKIS dapat berkembang sebagai sebuah institusi kemahiran Islam yang berkualiti dan berdaya saing. Kita amat menghargai perkongsian kepakaran, teknologi, pengalaman serta jaringan pendidikan yang dibawa oleh IKDAR dalam pembangunan KKIS.
“Sudah pasti tindakan ini memberikan nilai tambah kemahiran supaya golongan muda Islam bukan sahaja mantap ilmu agama, malah berdaya saing di pasaran kerja. Kerajaan negeri akan menyokong USIA dan badan bukan kerajaan (NGO) yang lain bagi melaksanakan usaha yang baik untuk kepentingan rakyat.
“Saya berharap KKIS terus memperluaskan program kemahiran, memperkukuh kerjasama industri serta mememperkasa penguasaan Al dan teknologi digital, agar lahir graduan yang kukuh nilai agamanya, tinggi kemahirannya dan bersedia menghadapi masa hadapan.” katanya.
“Hari ini, kita dapat menyaksikan sendiri hasil daripada komitmen itu apabila bangunan ini telah dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan diberikan nafas baharu melalui penubuhan KKIS. Saya berharap kolej ini terus menjadi pusat pendidikan, pembangunan modal insan dan pemerkasaan ummah di Sabah,” katanya.






