Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

30 pelajar Sabah lanjut pengajian ke Al-Azhar, Maahad Qiraat Shoubra

Read Time:2 Minute, 32 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Seramai 30 pelajar dari negeri ini akan berangkat ke Mesir tahun ini bagi melanjutkan pengajian di dua universiti iaitu Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata peluang menuntut ilmu di negara Timur Tengah itu bukan sekadar satu pencapaian akademik, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul setiap pelajar.

“Pergilah ke Mesir dengan niat yang betul. Tuntutlah ilmu kerana Allah SWT. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh, berdisiplin dan penuh kesabaran.

“Ingatlah bahawa saudara dan saudari bukan hanya membawa buku dan pakaian apabila berangkat nanti. Saudara dan saudari membawa bersama harapan ibu bapa, doa keluarga, amanah penaja serta nama baik Sabah dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat kepada 30 pelajar yang melanjutkan pengajian  di Universiti Al-Azhar dan Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar di sini pada Selasa.

Teks ucapan beliau dibacakan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin.

Daripada jumlah itu, 28 orang merupakan pelajar tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), manakala dua lagi menerima tajaan Yayasan Sabah.

Arifin berkata, pelajar yang berada di Mesir akan berpeluang bergaul dengan pelajar dari pelbagai negeri dan negara selain menimba pengalaman bersama ulama, masyaikh dan ilmuwan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu memanfaatkan pengalaman berkenaan untuk membina ilmu, kematangan dan keperibadian.

“Jagalah adab, akhlak dan disiplin. Hormatilah para guru dan pensyarah. Patuhi peraturan universiti dan negara.

“Jagalah hubungan sesama rakan dan jangan mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan pengajian serta masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 24 pelajar akan melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, terdiri daripada 13 pelajar lelaki dan 11 pelajar perempuan.

Enam lagi akan mengikuti pengajian di Maahad Qiraat Shoubra Al-Azhar, membabitkan empat pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan.

Bagi 28 pelajar tajaan MUIS, Arifin berkata, Dermasiswa Awal sebanyak RM9,000 disediakan bagi setiap pelajar sebagai persediaan sebelum memulakan pengajian.

Jumlah keseluruhan dermasiswa berkenaan adalah RM252,000, manakala peruntukan tiket penerbangan pula berjumlah RM100,821.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi Dermasiswa Awal dan tiket penerbangan untuk kumpulan berkenaan sebanyak RM352,821.

Arifin berkata, bantuan berkenaan bukan sekadar angka dalam peruntukan, sebaliknya mencerminkan komitmen dalam memastikan anak-anak Sabah mendapat peluang melanjutkan pengajian serta membuat persiapan sebelum memulakan kehidupan sebagai mahasiswa di Mesir.

“Bagi kumpulan yang diraikan pada hari ini, MUIS turut menyediakan Dermasiswa Awal bagi membantu persiapan anak-anak sebelum memulakan pengajian di Mesir.

“Maka, kepada anak-anak penerima tajaan, hargailah amanah ini. Belajarlah dengan bersungguh-sungguh. Jagalah disiplin. Gunakan bantuan yang diberikan dengan sebaik-baiknya dan jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan,” katanya.

Arifin turut menyeru pelajar supaya tidak melupakan Sabah dan keluarga apabila berada di perantauan, selain kembali ke negeri ini selepas tamat pengajian dengan membawa ilmu yang bermanfaat.

Menurutnya, Sabah memerlukan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi turut memiliki ilmu, akhlak, kemahiran, pengalaman dan semangat untuk berkhidmat.

Beliau berharap pelajar berkenaan pada masa hadapan dapat menjadi ulama, pendidik, pendakwah, profesional dan pemimpin masyarakat yang mampu menyumbang kepada pembangunan agama dan negeri. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE