Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Hajiji mohon pemberian khas 40 peratus Sabah disegerakan

Read Time:1 Minute, 22 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, memohon supaya penyelesaian berkaitan pemberian khas 40 peratus kepada Sabah mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata perkara itu antara permohonan yang dikemukakan kerajaan negeri dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

“Kita berharap supaya ini juga dapat diselesaikan dan disegerakan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Menjawab permohonan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan pemberian interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion mulai tahun ini.

Katanya, peningkatan itu merupakan langkah interim sementara rundingan berkaitan formula dan jumlah sebenar pemberian khas kepada Sabah diteruskan.

“Untuk itu, saya telah bersetuju untuk menambah segera mulai tahun ini kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim.

“Rundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti dalam perjanjian awal,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan RM1.5 bilion itu akan dibentangkan dalam Belanjawan 2027 di Parlimen pada Oktober.

Katanya, peruntukan berkenaan dijangka disalurkan kepada Sabah pada akhir Oktober atau awal November.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata kerajaan Persekutuan turut memberi perhatian kepada kedudukan Sarawak dalam perkara pemberian kewangan, walaupun ia tidak termasuk secara langsung di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata perbincangan lanjut dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan diteruskan bagi mencari langkah interim untuk Sarawak.

Katanya, langkah berkenaan berkemungkinan diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching.

Anwar berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak turut akan membincangkan formula pemberian yang mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan kerajaan serta jumlah minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.

LEAVE A RESPONSE