Read Time:2 Minute, 14 Second
LABUAN : Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Bengkel ‘Training of Trainers’ (TOT) Pengurangan Risiko Bencana: Modul Pendidikan Gempa Bumi yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang.
Bengkel anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPNWPL) dengan kerjasama NDRC UMS itu bertujuan memperkukuh pengetahuan dan kemahiran guru dalam melaksanakan pendidikan gempa bumi di sekolah.
Seramai 28 Guru Penyelaras Keselamatan (3K) dan 30 murid dari Wilayah Persekutuan Labuan menyertai bengkel tersebut bagi meningkatkan pemahaman serta kesediaan mereka dalam menghadapi risiko gempa bumi dan bencana.

Pengarah JPNWPL, Yahya Ahmad Puteh berkata pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama strategik bersama NDRC UMS dalam usaha memperkukuh pendidikan pengurangan risiko bencana di sekolah.
“JPNWPL merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada NDRC UMS atas kesudian berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan gempa bumi melalui penyampaian ceramah, latihan dan bimbingan kepada guru serta murid.
“Bengkel ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan dan kemahiran Guru Penyelaras Keselamatan (3K), malah membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih erat dalam memperkasa pendidikan pengurangan risiko bencana.
“Semoga kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan melalui pelbagai program pendidikan, latihan serta pembangunan modul yang memberi manfaat kepada guru dan murid di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

Sesi ceramah dan latihan disampaikan oleh Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran, yang berkongsi pengetahuan serta kemahiran berkaitan kesiapsiagaan dan pengurusan risiko bencana.
Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada konsep asas sains gempa bumi, risiko gempa bumi di Malaysia serta keselamatan gempa bumi melalui amalan Tunduk, Berlindung dan Bertahan.
Di samping itu, Pengarah NDRC, merangkap ketua delegasi NDRC UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus, turut mengadakan kunjungan hormat ke JPNWPL.
“Pendidikan merupakan asas penting dalam membentuk masyarakat yang lebih bersedia menghadapi bencana, oleh itu guru memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan ilmu kesiapsiagaan bencana kepada murid.
“Melalui pendekatan Training of Trainers ini, pengetahuan yang diperoleh bukan sahaja diaplikasikan di sekolah, malah dapat disebarluaskan kepada keluarga dan komuniti, sekali gus menyokong usaha membina masyarakat yang lebih berdaya tahan terhadap bencana,” ujar beliau.
Tambah Carolyn, Modul Pendidikan Gempa Bumi yang dibangunkan oleh NDRC UMS dengan pembiayaan UNICEF dan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah diserapkan dalam pelaksanaan Bulan Kesiapsiagaan Bencana di sekolah-sekolah sejak tahun lalu.
Inisiatif ini sekali gus menjadi medium penting dalam memperkukuh pendidikan pengurangan risiko bencana, khususnya dalam meningkatkan kesedaran warga sekolah dalam menghadapi risiko gempa bumi dan bencana yang berkaitan.
“Saya harap kerjasama yang terjalin bersama JPNWPL akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak program pendidikan dan latihan berkaitan pengurangan risiko bencana, sekali gus menyokong aspirasi melahirkan sekolah dan komuniti yang lebih bersedia menghadapi bencana.
“Program ini mencerminkan komitmen berterusan NDRC UMS dalam memperkasa pendidikan sains gempa bumi serta memperluaskan kerjasama strategik rentas sektoral dan negeri dalam pengurangan risiko bencana,” jelasnya.






