Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Semangat perpaduan dan pengorbanan Double Six wajar terus dihidupkan

Read Time:3 Minute, 45 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Semangat perpaduan, pengorbanan dan kepimpinan yang menjadi asas perjuangan generasi awal pemimpin Sabah perlu terus dipelihara demi memastikan masa depan negeri ini kekal kukuh dan sejahtera.

Seruan itu disampaikan sempena ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six menerusi ucapan anak Allahyarham Tun Fuad Stephens, Asgari Stephens, 66, yang mewakili keluarga Stephens dalam majlis memperingati tragedi bersejarah itu di sini, hari ini (6 Jun).

Asgari Stephens

Menurut beliau, tragedi yang berlaku pada 6 Jun 1976 bukan sahaja meragut nyawa 11 individu termasuk beberapa pemimpin utama negeri, malah menghentikan harapan besar yang sedang berkembang selepas kemenangan Parti Berjaya dalam pilihan raya negeri ketika itu.

Katanya, kemenangan tersebut telah mencetuskan keyakinan baharu dalam kalangan rakyat bahawa Sabah mampu melangkah ke arah masa depan yang lebih baik selepas melalui tempoh perpecahan politik.

Bagaimanapun, hanya 54 hari selepas kemenangan itu, nahas pesawat Sabah Air jenis GAF Nomad berhampiran Sembulan telah meragut nyawa barisan pemimpin muda yang sedang memacu perubahan negeri.

“Mereka semua masih muda dan mewakili pelbagai komuniti utama di Sabah.

“Kehilangan pemimpin yang berkebolehan, bertenaga dan bersemangat untuk membawa perubahan pada usia sebegitu muda merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negeri ini,” katanya.

Dalam ucapannya, Asgari turut mengenang beberapa tokoh yang terkorban termasuk Datuk Peter Joinud Mojuntin yang dikenali sebagai “Anak Emas Kadazan”, Datuk Salleh Sulong, Datuk Chong Thain Vun dan Datuk Darius Binion yang disifatkannya sebagai pemimpin muda berwibawa serta mewakili kepelbagaian masyarakat Sabah.

Beliau turut menyuarakan harapan agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk menarik balik larangan terhadap buku Golden Son of the Kadazan bagi membolehkan generasi muda memahami sejarah serta sumbangan Datuk Peter Mojuntin kepada Sabah.

Asgari berkata, kekuatan Parti Berjaya ketika itu terletak pada kepelbagaian kaum dan agama yang bersatu di bawah satu cita-cita bersama untuk membangunkan negeri.

Menurutnya, Tun Fuad percaya perpaduan hanya dapat dicapai melalui kefahaman antara masyarakat pelbagai latar belakang dan sentiasa mengutamakan kepentingan seluruh rakyat Sabah.

Beliau berkata sebelum menceburi bidang politik, Tun Fuad memulakan kerjaya sebagai penerbit dan penulis akhbar, selain memainkan peranan penting dalam memperjuangkan identiti masyarakat Kadazan.

Antara sumbangan penting beliau termasuk memperkenalkan ruangan bahasa Kadazan dalam akhbar North Borneo News and Sabah Times pada 1954 serta memperjuangkan pengiktirafan cuti umum dua hari sempena Pesta Kaamatan bersama Ketua Anak Negeri, OKK Sedomon Gunsanad.

Mengimbau keadaan Sabah pada era awal pembangunan negeri, Asgari berkata masyarakat ketika itu berdepan pelbagai cabaran dan kekurangan sumber, namun mempunyai semangat pengorbanan serta kesediaan untuk bekerjasama demi masa depan bersama.

“Lima puluh tahun kemudian, kita mungkin lebih makmur, tetapi dalam beberapa aspek kita telah membiarkan diri kita berpecah mengikut garis-garis yang pasti ditolak oleh bapa saya.

“Pada ulang tahun ke-50 ini, saya menyeru rakyat Sabah supaya mengingati dari mana kita datang, bukan untuk terus hidup dalam masa lalu, tetapi untuk memahami apa yang mampu kita capai apabila kita bersatu,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat menuntut integriti, kecekapan dan komitmen yang lebih tinggi daripada para pemimpin, selain melihat sesama rakyat sebagai rakan dalam membina masa depan negeri.

Sementara itu, anak perempuan Tun Fuad, Faridah Stephens, 64, berkata ulang tahun ke-50 tragedi berkenaan membawa pelbagai emosi kepada keluarga kerana masa yang berlalu terasa begitu pantas, namun pada masa sama seakan-akan terlalu lama.

“Namun yang menggembirakan ialah orang ramai masih mengingati beliau dan semua yang terkorban dalam tragedi itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Faridah berkata kebanyakan pemimpin yang terkorban ketika itu masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah.

Beliau turut menyokong cadangan menghimpunkan keluarga mangsa Tragedi Double Six sebagai usaha memperingati pengorbanan mereka secara bersama.

Mengulas mengenai bagaimana beliau memperkenalkan legasi Tun Fuad kepada generasi seterusnya, Faridah berkata beliau sering menggalakkan anak-anaknya membaca bahan sejarah dan buku berkaitan tokoh berkenaan.

“Saya berikan mereka buku mengenai Tun Fuad untuk dibaca. Selain itu, masih ada individu yang mengenali beliau dengan rapat dan boleh berkongsi pengalaman secara langsung,” katanya.

Menurutnya, semangat perjuangan generasi pemimpin terdahulu terus diteruskan menerusi Yayasan Tun Fuad Stephens yang memberi tumpuan kepada pendidikan dan pembangunan masyarakat luar bandar.

“Kami menyediakan biasiswa untuk kanak-kanak dan membantu meningkatkan peluang pendidikan mereka, khususnya di kawasan luar bandar.

“Itulah semangat yang saya percaya diperjuangkan oleh mereka semua ketika itu,” katanya.

Dalam tragedi yang dikenali sebagai Tragedi Double Six itu, seramai 11 individu terkorban apabila pesawat Sabah Air yang dinaiki mereka terhempas berhampiran Sembulan pada 6 Jun 1976.

Lima puluh tahun selepas tragedi tersebut, legasi mereka terus dikenang sebagai simbol pengorbanan, perpaduan dan cita-cita besar untuk membina Sabah yang lebih kuat, bersatu dan makmur.

LEAVE A RESPONSE