Read Time:1 Minute, 39 Second
KOTA KINABALU: Sebarang kerjasama politik antara UMNO dan PAS yang mungkin mempunyai daya tarikan di Semenanjung tidak semestinya sesuai diterapkan di Sabah berikutan perbezaan realiti politik di kedua-dua wilayah.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025 memperlihatkan peningkatan pengaruh politik yang berteraskan kepentingan negeri.
Dalam pilihan raya tersebut, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi 29 daripada 55 kerusi yang ditandinginya, manakala Parti Warisan Sabah (Warisan) memperoleh 25 kerusi selepas bertanding di kesemua 73 kawasan.
Secara keseluruhan, kedua-dua gabungan dan parti berkenaan menguasai 54 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah. Lima lagi kerusi dimenangi calon Bebas.
Keputusan rasmi turut menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh enam kerusi, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) tiga, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dua, serta Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi.
Salleh berkata, walaupun GRS, Warisan dan calon-calon Bebas bukan sebahagian daripada satu blok politik yang sama, keputusan berkenaan menggambarkan kekuatan politik yang berorientasikan kepentingan Sabah.
Menurutnya, sentimen kenegerian serta isu autonomi, pembangunan dan hak-hak Sabah semakin penting dalam menentukan pilihan pengundi.
Beliau berkata Sarawak pula memberikan gambaran yang lebih jelas apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya mengukuhkan kedudukannya menerusi pendekatan berteraskan kepentingan negeri, sementara UMNO tidak pernah bertapak di Sarawak.
“Oleh itu, sebarang persefahaman UMNO-PAS yang mungkin berkesan di Semenanjung tidak semestinya sesuai diterapkan di Sabah.
“Ia malah boleh memberikan kesan sebaliknya sekiranya dilihat sebagai formula politik yang terlalu berpusatkan Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan bertajuk Satu Negara, Realiti Politik Berbeza.
Salleh berkata, UMNO Sabah perlu membawa imej sebuah parti nasional yang memahami keunikan landskap politik negeri dan bersedia menjalinkan kerjasama rapat dengan parti-parti tempatan, khususnya GRS.
Katanya, pendekatan politik di Sabah perlu berpaksikan empat perkara utama, iaitu kestabilan politik, pembangunan, pemeliharaan hak-hak Sabah serta kepentingan rakyat negeri itu.
“Kita adalah satu negara, tetapi itu tidak bermakna setiap negeri mesti menggunakan formula politik atau pilihan raya yang sama,” katanya.






