Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Warisan belum muktamad kerjasama dengan STAR, KDM – Shafie

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Parti Warisan belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perbincangan dengan kedua-dua parti tempatan itu masih di peringkat awal dan sedang diteliti secara terperinci.

“Kita sedang meneliti. Belum ada perkara yang dimuktamadkan mengenai apa yang perlu kita lakukan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Shafie berkata, terdapat persamaan pandangan antara parti berkenaan, khususnya berkaitan keperluan memastikan suara dan kepentingan Sabah terus diberi perhatian.

Sehubungan itu, beliau turut menegaskan, kerusi Parlimen di Sabah perlu diberi keutamaan kepada parti dan calon tempatan bagi memastikan suara rakyat negeri ini lebih kukuh di peringkat Persekutuan.

Katanya, jumlah 25 kerusi Parlimen yang dimiliki Sabah tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut angka, sebaliknya perlu mengambil kira kepentingan dan kedudukan strategik Sabah dalam pembentukan kerajaan Persekutuan.

“25 kerusi ini, yang pentingnya kita fikirkan, bagilah kepada anak Sabah. Jangan kira jumlah kerusi di Semenanjung lebih 160, sedangkan kita hanya 25.

“Kita tidak mahu corak suara Sabah tenggelam kerana kerjasama dengan parti yang ada di sini,” tegasnya.

Shafie berkata, sebarang kerjasama yang bakal dibentuk perlu mempunyai pendirian yang jelas, termasuk berkaitan hak Sabah dan kepentingan rakyat negeri ini.

Beliau berkata, Warisan turut menerima isyarat daripada beberapa parti lain yang berminat untuk bekerjasama, namun setiap tawaran akan dinilai berdasarkan keperluan rakyat Sabah.

“Biasalah dalam politik, ada yang mencari rakan dan ada yang mencari lawan. Tetapi keutamaan kita ialah keperluan rakyat Sabah,” katanya.

LEAVE A RESPONSE