Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KMJG semarak patriotisme, perluas kempen pengibaran Jalur Gemilang di Sipitang

Read Time:1 Minute, 27 Second

SIPITANG: Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) meneruskan jelajahnya ke Daerah Sipitang menerusi Program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Kluster Rumah Ibadat bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta memperluaskan kempen pengibaran Jalur Gemilang dalam kalangan masyarakat.

Program yang berlangsung di Masjid Haji Abdullah, Kampung Lumut, pada Khamis itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan dan perpaduan komuniti menerusi pengisian kerohanian serta mesej kenegaraan.

Program dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dan doa selamat yang dipimpin Imam Masjid Haji Abdullah, Osman Matusin.

Selepas solat Isyak, para jemaah meneruskan pengisian dengan bacaan Surah Al-Mulk sebelum acara kemuncak menyaksikan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, menyerahkan kit Jalur Gemilang kepada Pengerusi Masjid Haji Abdullah, Kampung Lumut, Ali Amat Sunting.

Penyerahan berkenaan menjadi simbolik penyertaan institusi rumah ibadat dalam Kempen 1R1JG, sekali gus memperlihatkan komitmen masyarakat setempat dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Pada majlis sama, Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Sipitang, Suhaimie Sahirul, turut memberi penerangan mengenai tatacara penggunaan dan pengibaran Jalur Gemilang.

Beliau menekankan kepentingan menghormati bendera kebangsaan sebagai lambang kedaulatan negara selain memastikan penggunaannya mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Penganjuran Kluster Rumah Ibadat adalah pengisian baharu dalam Kempen 1R1JG tahun ini yang bertujuan memperluaskan penyertaan masyarakat melalui institusi keagamaan.

Pendekatan itu diharap dapat menyemai semangat cintakan negara, memperkukuh perpaduan serta menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang secara lebih meluas dalam kalangan rakyat.

Konvoi KMJG yang memulakan jelajah pada 1 Ogos lalu akan meneruskan perjalanan ke seluruh daerah di Sabah dengan pelbagai pengisian bersama komuniti sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan.

Selain mengedarkan Jalur Gemilang, program berkenaan turut menjadi platform menyampaikan mesej kenegaraan dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Hadir sama Pegawai Tadbir Agama Daerah Sipitang, DK Noorasrianna Pg Mohd Nooh; Penasihat Masjid Haji Abdullah, Kampung Lumut, Kasim Karim serta Komuniti MADANI Daerah Sipitang.

LEAVE A RESPONSE