Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kenalan rapat dedah Nurima berulang kali mengaku bunuh, bukan orang lain

Read Time:3 Minute, 21 Second

TAWAU: Nurima Juli, 36, pernah mengaku kepada seorang kenalan rapat bahawa dia membunuh pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, 61, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Chin Yuk Wah, 52, yang mengenali Nurima sejak 11 tahun lalu, berkata wanita itu bagaimanapun tidak pernah menyebut nama mana-mana plaintif atau individu lain sebagai terbabit dalam pembunuhan berkenaan.

Chin, yang bekerja sendiri berkata demikian ketika memberi keterangan sebagai saksi kelima dalam perbicaraan tiga saman sivil yang disatukan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos.

Kesemua tujuh plaintif sebelum ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Tawau pada 25 Januari 2023 daripada pertuduhan berkaitan pembunuhan pemandu e-hailing tersebut.

Nurima pula mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menyebabkan kematian bekas suaminya, Nurman, dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada 14 April 2025.

“Sejak awal lagi, Nurima sentiasa mengaku kepada saya bahawa dialah yang membunuh si mati. Dia tidak pernah mengatakan bahawa orang lain yang melakukannya. Saya ada bertanya kepadanya bagaimana dia membunuh si mati, dan Nurima memberitahu saya bahawa dia menikam si mati dari bahagian belakang leher,” kata Chin.

Menjawab soalan daripada peguam plaintif, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, saksi berkata, Nurima sendiri memaklumkan bahawa dia sudah mengaku kepada pegawai penyiasat polis Bukit Aman mengenai pembunuhan itu dan polis akan menghubunginya untuk mengambil keterangan.

“Dia pesan terus terang saja apa yang berlaku memang dia sudah mengakui dengan polis Bukit Aman yang dia membunuh. Tetapi ketika itu dia masih dalam pengawasan polis sebagai saksi,” katanya.

Chin berkata dia tidak rapat dengan mana-mana plaintif namun bersedia menjadi saksi.

“Saya tidak banyak fikir terus setuju sebab saya tahu ini kes apa yang berlaku, siapa yang membunuh dan siapa tidak bunuh,” katanya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan balas oleh Peguam Kanan Persekutuan (SFC), Zetty Zurina Kamarudin, saksi bersetuju bahawa Nurima tidak memberitahunya siapa yang ditikam dan dia sendiri tidak mengetahui identiti individu berkenaan.

Saksi juga mengakui bahawa pada malam kejadian, dia tidak mempercayai sepenuhnya pengakuan Nurima bahawa wanita itu melakukan pembunuhan kerana mengetahui Nurima kerap mengalami tekanan fikiran dan keadaan emosinya sering tidak stabil.

SFC: Saya merujuk kepada jawapan di perenggan J12 juga, setuju saya katakan kepada kamu bahawa Nurima tidak memaklumkan siapa yang dia tikam?
Saksi: Setuju.

SFC: Setuju saya katakan kepada kamu bahawa kamu juga tidak tahu siapa yang Nurima tikam?
Saksi: Setuju.

SFC: Saya katakan bahawa walaupun hubungan encik dan Nurima sangat rapat, namun, encik masih tidak mempercayai kenyataan Nurima iaitu dia yang melakukan pembunuhan tersebut, setuju?
Saksi: Setuju.

SFC: Merujuk kepada jawapan kamu di J14. Saya katakan kepada kamu bahawa kamu tidak percaya Nurima kerana keadaan emosinya yang sering tidak stabil dan dia juga mengalami gangguan, setuju?
Saksi: Setuju.

SFC: Setuju saya katakan encik tidak percaya kerana encik sendiri tahu Nurima kerap mengalami tekanan fikiran, dan pernah mengalami gangguan sehingga “kerasukan”, setuju?
Saksi: Setuju.

SFC: Jadi, setuju saya katakan bahawa sepanjang tahun encik mengenali Nurima dengan hubungan yang rapat dengan Nurima, encik boleh katakan Nurima ini seorang yang fikirannya tidak stabil dan mempunyai masalah tekanan fikiran, setuju?
Saksi: Setuju.

SFC: Setuju saya katakan sebagai seorang kenalan yang rapat dengan Nurima, encik sendiri tidak mempercayai cakap Nurima 100%, setuju?
Saksi: Setuju.

SFC: Saya katakan sekiranya encik sendiri mempunyai maklumat berkenaan pembunuhan ini, maklumat encik tersebut hanyalah berdasarkan apa yang Nurima beritahu dan bukanlah encik sendiri yang menyaksikan pembunuhan tersebut?
Saksi: Setuju.

Menjawab soalan lain daripada SFC, saksi bersetuju bahawa ketika disoal siasat oleh pasukan polis Bukit Aman pada Julai 2023, dia telah memberikan keterangan yang sebenar.

SFC: Saya katakan pegawai polis Bukit Aman tersebut tidak memukul, mengugut, atau memaksa untuk encik untuk mengaku terhadap naratif untuk mereka-reka cerita/narattif, Setuju?
Saksi: Setuju. Tidak ada mereka-reka cerita lain.

SFC: Malah, pegawai polis Bukit Aman telah membawa kamu secara fizikal ke tempat-tempat yang kamu lalui bersama Nurima iaitu pada malam kejadian untuk mengesahkan setiap pergerakan (verifying route/alibi), setuju?
Saksi: Setuju. Sebab mereka mahu ambil masa bermula dari rumah saya ke area Fajar dan juga ke area BSN di Sabindo. Pastikan bahawa statement saya tidak direka.

Perbicaraan akan bersambung pada 21 hingga 25 September depan.

LEAVE A RESPONSE