Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dipenjara empat tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menipu seorang wanita sebanyak RM1,950 menerusi tawaran sewa rumah yang diiklankan di Facebook.
Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Redzuan Sulaiman, 42, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkap.
Mengikut pertuduhan, Redzuan didakwa menipu mangsa berusia 34 tahun dengan memperdayakannya bahawa dia menyediakan perkhidmatan sewa rumah di Cyber City Apartment Phase 1.
Tertuduh secara curang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM1,950 pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 8.46 malam di Grace Food Court, Sembulan.
Redzuan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa bertemu Redzuan di Grace Food Court selepas melihat satu iklan di Facebook yang menawarkan sebuah unit rumah di Cyber City Apartment Phase 1 untuk disewa.
Mangsa diberitahu bahawa Redzuan adalah pemilik rumah berkenaan dan bersetuju untuk menyewanya sebelum menyerahkan wang tunai RM1,950 kepadanya pada hari sama.
Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati unit rumah berkenaan bukan milik Redzuan, sebaliknya didaftarkan atas nama individu lain. Malah, penyewaan unit rumah berkenaan juga tidak wujud.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan itu merupakan penipuan dalam talian yang dirancang melalui iklan palsu di Facebook bagi memperdaya individu yang mencari rumah sewa.
Menurutnya, penipuan sewa rumah menerusi media sosial semakin berleluasa, justeru hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran serta bagi melindungi orang ramai daripada penipuan dalam talian.






