Read Time:1 Minute, 42 Second
KOTA KINABALU : Para pesara khususnya guru diseru agar terus memainkan peranan aktif dalam masyarakat melalui konsep pembelajaran sepanjang hayat, dengan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki untuk membantu generasi muda.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, para pesara digalakkan meneroka pelbagai rancangan dan aktiviti kemasyarakatan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.
Katanta, pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan menjadikan mereka aset penting dalam usaha memperkasa pembangunan sosial dan pendidikan negara

“Berdasarkan statistik dan pemerhatian menunjukkan dengan jelas bahawa dalam masyarakat kita, terdapat sebilangan pelajar yang masih memerlukan bantuan dalam pelbagai bentuk daripada para persara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jasamu Dikenang Tahun 2025 ‘Sesaat Bersama Seabad Terasa’ di sini pada Rabu.
Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu Suhaimi Matshah.
Arif berkata, gaya hidup sihat menerusi pemakanan dan aktiviti riadah perlu diteruskan secara konsisten.

“Pesanan saya kepada semua, kesihatan diri perlulah diberi keutamaan demi kehidupan yang lebih sejahtera dan bermakna untuk kita nikmati pula zaman persaraan.
“Selain itu, kepada warga Kementerian Pendidikan yang masih berkhidmat, saya amat berharap agar semua warga kerja Kementerian Pendidikan akan sentiasa peka dan meninggalkan sikap yang mudah berasa selesa dengan pencapaian dalam organisasi masing-masing.
“Sebaliknya hendaklah sentiasa berfikir dengan skop yang lebih luas dan berpandangan jauh agar perancangan-perancangan dan kerja-kerja yang dilaksanakan akan selaras dengan visi dan misi Kementerian Pendidikan yang sentiasa menjana ke arah pendidikan yang berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Arif berkata, fasa persaraan memberi ruang waktu para pesara untuk melaksanakan program atau apa-apa jua aktiviti yang sebelum ini tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan waktu bertugas.
“Diharapkan masa-masa emas yang terluang ini digunakan sepenuhnya dengan perkara-perkara yang bermanfaat dan menguntungkan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
“Saya sebutkan perkara ini kerana ada kalanya terdengar komen segelintir pesara yang seolah-olah merasa kekosongan aktiviti dalam menjalani kehidupan selepas bersara.
“Dengan hubungan yang sedia terjalin ini, diharapkan pelbagai pilihan tersedia untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang terbuka di sekeliling kita, ” katanya. – SABAH MEDIA