Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan MADANI buktikan komitmen terhadap Sabah, 13 tuntutan MA63 diselesaikan

Read Time:2 Minute, 12 Second

KUALA LUMPUR : Kerajaan MADANI memberi komitmen tinggi dalam menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan menyelesaikan sebanyak 13 tuntutan utama yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sabah setakat ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI, seperti juga kerajaan-kerajaan terdahulu turut komited memenuhi segala obligasi terhadap Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan MADANI bukan sekadar menghormati MA63, tetapi melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi memastikan hak Sabah terus diperkukuh dan dihormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan terhadap pendirian Kerajaan Madani berhubung Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Menurut beliau, Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyelesaian pelbagai isu tertunggak yang membabitkan pentadbiran dan hak negeri.

Antara tuntutan di bawah MA63 yang telah diselesaikan ialah penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) kepada Kerajaan Sabah, dengan Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu.

Pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta Jabatan Air Sabah (JANS) sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182, sekali gus memperkukuh keupayaan Sabah mengurus projek pembangunan.

Penyerahan kuasa melulus perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah bagi projek bernilai sehingga RM50 juta, memberikan lebih autonomi kepada negeri dalam pelaksanaan pembangunan.

Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53, bagi melantik wakil tetap Kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota LHDN, memperkukuh peranan negeri dalam aspek fiskal nasional.

Langkah-langkah ini, katanya, mencerminkan pendekatan kerjasama dan kepercayaan dua hala antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, di samping mengembalikan hak-hak Sabah secara berperingkat berdasarkan semangat dan roh MA63.

“Kita bukan sekadar menandatangani dokumen, tetapi melaksanakan janji yang telah lama dinantikan rakyat Sabah,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan turut mengambil maklum berhubung keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.

Katanya, Kerajaan MADANI menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.

Menurutnya, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu antara lainnya mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.

“Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah- olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah.

“Bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di Mahkamah,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE