Read Time:1 Minute, 38 Second
PAPAR: Sebanyak 10 unit tangki sedutan air tambahan jenis HDPE berkapasiti 10,000 gelen setiap satu akan dibina di Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut sebagai langkah meningkatkan kapasiti simpanan air dan mengurangkan gangguan bekalan yang sering dihadapi penduduk.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pembinaan tangki berkenaan oleh Jabatan Air Negeri Sabah adalah antara langkah segera yang diputuskan susulan Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 28 Julai lalu.
Beliau berkata, taklimat itu turut memfokuskan kemajuan dua projek penyelesaian jangka panjang iaitu Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon yang dijangka mula beroperasi masing-masing pada September dan November tahun ini.
“Turut dibangkitkan dalam taklimat tersebut ialah cadangan pembinaan 10 tangki sedutan air tambahan jenis HDPE di Puncak Gloxinia bagi mengatasi masalah bekalan air yang telah lama membelenggu penduduk,” katanya selepas meninjau lokasi pembinaan projek itu pada Isnin.
Armizan berkata, Puncak Gloxinia yang mula diduduki pada penghujung 2018 mempunyai enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit kediaman.
Menurutnya, kawasan itu merupakan antara lokasi paling terjejas apabila berlaku gangguan bekalan daripada LRA Kogopon kerana berada di penghujung saluran penerima air bagi tangki utama P3.
“Selain menjadi penerima terakhir, keadaan lebih mencabar kerana ia merupakan perumahan berstrata dengan 18 tingkat bagi setiap blok.
“Walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas (upper tank) sedia ada, kapasiti itu masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan apabila berlaku gangguan bekalan. Berbeza dengan kawasan perumahan teres atau kampung, penghantaran air ke pangsapuri bertingkat lebih rumit dan penghuni juga terpaksa mengangkut air ke unit masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, projek itu turut melibatkan pemasangan paip penghubung sepanjang 600 meter bagi menambah kapasiti simpanan air.
Katanya, penambahan kapasiti itu membolehkan stok bekalan air disalurkan kepada penghuni untuk tempoh yang lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara, sekali gus mengurangkan kesulitan yang dihadapi penduduk sejak sekian lama.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Seri Ghulamhaidar Khan Bahadar.






