Read Time:1 Minute, 38 Second
TENOM: Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) perlu diperluaskan hingga ke peringkat kampung bagi menyemarakkan semangat patriotisme serta membudayakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah dalam kalangan rakyat sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata usaha itu penting bagi memastikan masyarakat terus menghayati erti kemerdekaan serta menghargai perjuangan panjang yang dilalui negara sehingga rakyat hari ini dapat menikmati kehidupan dalam suasana aman, damai dan sejahtera.
“Kita mahu semangat kemerdekaan ini diteruskan di peringkat kampung dengan mengadakan kempen kepada masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
“Ini penting untuk mengingatkan kita bahawa proses mencapai kemerdekaan melalui perjalanan yang panjang sehingga membolehkan kita menikmati kehidupan yang aman, damai dan tenteram pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Walkabout Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) Daerah Tenom 2026 di Malleh Square, Pekan Tenom, pada Isnin.
Program anjuran Jabatan Penerangan Daerah Tenom itu menyaksikan rombongan mengadakan sesi walkabout dengan mengunjungi premis-premis perniagaan sekitar Pekan Tenom bagi mengagihkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada para peniaga serta orang ramai.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik pelaksanaan kempen berkenaan yang dilancarkan oleh Ketua Menteri pada 1 Ogos lalu sebagai usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam, ketua jabatan dan pemimpin masyarakat yang hadir menjayakan program berkenaan walaupun berlangsung dalam keadaan hujan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang hadir pada pagi ini. Walaupun hujan, ia tidak melunturkan semangat kita untuk bersama-sama menjayakan kempen ini,” katanya.
Menurut beliau, tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, perlu diterjemahkan melalui semangat perpaduan dan kecintaan kepada negara agar kesejahteraan dapat terus dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Tenom.
Turut hadir Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Ketua Daerah, OKK Tusip Tulas; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tenom, Mumin Amsah; serta ketua-ketua jabatan dan pemimpin masyarakat setempat.






