Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 64 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau.
Kesemua mereka dipindahkan ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan perkhidmatan feri komersial.
Program pemindahan itu membabitkan 51 lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara 15 hingga 66 tahun.
Kanak-kanak yang mengikuti program itu turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.
JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata pada tarikh 27 Julai lalu, jDepot Imigresen Tawau juga telah memindahkan seramai 43 orang warganegara Indonesia melalui pelabuhan yang sama menggunakan kemudahan feri komersial.
Mereka terdiri daripada 22 lelaki dewasa, 19 perempuan dewasa, seorang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Sehingga hari ini, seramai 4,399 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal, membabitkan 2,849 warga Filipina, 1,314 warga Indonesia, 108 warga Pakistan, 91 warga China, 18 warga Vietnam dan 19 daripada lain-lain warganegara.
“Kesemua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal,” menurut kenyataan itu.
JIM Sabah turut menyeru kepada semua pihak agar lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti, tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta segera melaporkan kegiatan PATI kepada saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my.






