Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) serta Kempen Kibar Bendera 2026 bakal menyemarakkan semangat patriotisme dan memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah menerusi pelbagai program pengisian sepanjang bulan kemerdekaan.
Ketua Urus Setia Sambutan HKHS 2026, Dayang Selha Ibrahim berkata, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi menghayati erti kemerdekaan, di samping menyemai rasa cinta yang mendalam terhadap negeri Sabah dan negara Malaysia.
Menurut beliau, objektif utama sambutan itu adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara serta negeri, selain mengukuhkan hubungan dan perpaduan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum.
“Sepanjang bulan kemerdekaan ini, pelbagai pengisian rohani dan interaktif telah diatur, antaranya Majlis Doa Malaysia, majlis tahlil bersama Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah serta penganjuran Kuiz Kemerdekaan.
“Program-program ini diharap dapat menyemarakkan semangat cintakan negara dan negeri dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi temu bual di Konti Sabah FM, di sini.
Dayang Selha yang juga Setiausaha Rendah Bahagian Pentadbiran dan Pengurusan Akaun Kementerian Kewangan berkata, majlis pelancaran Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah serta Kempen Kibar Bendera 2026 akan diadakan pada 1 Ogos depan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu.
Katanya, majlis berkenaan dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Menurut beliau, antara pengisian utama pada majlis pelancaran itu ialah pengagihan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah kepada ketua-ketua jabatan, persatuan serta institusi pendidikan.
Selain itu, katanya, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan gimik pelancaran khas dan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka Negeri Sabah 2026 sebagai simbolik bermulanya sambutan bulan kebangsaan di negeri ini.
Beliau berharap seluruh rakyat Sabah dapat bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Sabah sepanjang bulan sambutan sebagai tanda semangat patriotisme, perpaduan serta kecintaan kepada tanah air.






