Read Time:1 Minute, 24 Second
KUALA PENYU: Anak kelahiran Kampung Kerukan, Ustazah Mariah Tasip dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Kuala Penyu yang berlangsung di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, di sini, pada Selasa.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang dakwah, pendidikan al-Quran, pengajian Fardhu Ain serta nasyid selama hampir tiga dekad.
Mariah berkata, anugerah berkenaan merupakan satu penghormatan besar bukan sahaja kepada dirinya, malah kepada golongan pendidik yang terus berbakti menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat.
Katanya, pengiktirafan tersebut menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus menyumbang kepada agama dan masyarakat walaupun telah bersara daripada perkhidmatan rasmi beberapa tahun lalu.
“Pengiktirafan ini adalah anugerah daripada Allah SWT. Saya berharap ia menjadi inspirasi dan galakan kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu agama, selain mendorong para pendidik supaya terus berbakti kepada masyarakat agar dapat melahirkan insan yang kukuh imannya serta dekat hatinya dengan agama.
“Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa induk sambutan atas kepercayaan yang diberikan serta pemilihan saya sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun ini.
“Anugerah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu saya pikul untuk terus berbakti kepada masyarakat, khususnya penduduk di Kuala Penyu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Penyampaian anugerah Tokoh Maal Hijrah itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias.
Sambutan Maal Hijrah peringkat daerah itu turut diisi dengan ceramah khas yang disampaikan penceramah jemputan, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, selain persembahan nasyid oleh Kumpulan Waiz.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Ag. Damit Talip; wakil Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Roslan Daud; serta Pegawai Tadbir Agama Daerah, Ahmad Sulaiman yang juga Setiausaha Majlis Sambutan.






