Read Time:1 Minute, 30 Second
JENGKA,— Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang wajar dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain kerana kerjasama yang baik membolehkan pelbagai isu rakyat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan kerjasama dan rundingan antara kedua-dua pihak memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya warga FELDA yang memerlukan sokongan kerajaan negeri dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan.
“Apa yang dilakukan Pahang adalah sesuatu yang boleh dipelajari oleh pemimpin negeri-negeri lain.
“Kalau hubungan Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri baik, segala permohonan dan masalah boleh diselesaikan dengan lebih mudah. Yang mendapat manfaat akhirnya ialah rakyat dan peneroka,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka FELDA dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA di Stadium Tun Abdul Razak di sini, hari ini.
Menurut Anwar, banyak isu berkaitan FELDA memerlukan kerjasama rapat kerajaan negeri memandangkan tanah rancangan berada di bawah bidang kuasa negeri, manakala penyediaan infrastruktur asas turut memerlukan penyelarasan antara kedua-dua pihak.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan mengadakan mesyuarat khas bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri pada Ogos ini bagi membincangkan beberapa isu utama termasuk pemilikan lot generasi baharu FELDA, penyediaan infrastruktur serta pindaan Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960.
Beliau berkata pendekatan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi mengurangkan beban kewangan negeri, khususnya dalam penyediaan infrastruktur yang diperlukan sebelum hak milik lot dapat disempurnakan.
Dalam pada itu, Anwar turut mencadangkan supaya sambutan Hari Peneroka FELDA dan ulang tahun FELDA selepas ini terus diadakan di kawasan yang mempunyai komuniti peneroka yang besar berbanding di Kuala Lumpur.
Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos penganjuran, malah membolehkan peniaga tempatan menikmati limpahan ekonomi hasil kehadiran orang ramai.
“Kos penganjuran juga jauh lebih rendah berbanding di ibu negara, dan penjimatan itu boleh disalurkan semula untuk manfaat warga FELDA,” katanya.






