Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Gotong-royong komuniti di Kg Sri Aman, 827 kg sisa berjaya dikutip

Read Time:3 Minute, 5 Second

SEMPORNA: Lebih 827 kilogram sisa berjaya dikutip di Kampung Sri Aman dan perairan sekitarnya menerusi program gotong-royong komuniti yang diadakan pada 4 Julai lalu, sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha kampung itu memperkukuh komitmen ke arah persekitaran lebih bersih melalui sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti.

Peserta gotong-royong mengutip sisa di perairan Kg Sr Aman. – Foto ihsan Reef Check Malaysia

Program berkenaan merupakan sebahagian daripada Projek Perintis Sistem Pengurusan Sisa Berasaskan Komuniti yang dilaksanakan oleh Reef Check Malaysia bersama Jawatankuasa Kampung Sri Aman.

Inisiatif itu dibiayai oleh Etika Sdn Bhd dengan sokongan Majlis Daerah Semporna, Pejabat Daerah Semporna serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Seramai 53 penduduk kampung, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, menyertai program gotong-royong itu dengan berjaya mengutip sebanyak 476.5 kilogram sisa dari kawasan awam di dalam kampung. Sebahagian besar sisa yang dikumpulkan terdiri daripada pembungkusan plastik dan botol plastik.

Menyedari sisa marin bukan sahaja tertumpu di kawasan pesisir pantai, pasukan pelaksana turut bekerjasama dengan AMWIL yang menyediakan bot bagi membantu mengutip sisa terapung di perairan sekitar. Hasil kerjasama itu, sebanyak 350.8 kilogram sisa terapung berjaya dikumpulkan, terdiri terutamanya daripada kain terbuang, tikar getah dan bahan bersaiz besar yang sukar dicapai melalui laluan darat.

Secara keseluruhan, sebanyak 827.3 kilogram sisa berjaya dikeluarkan dari kampung dan perairan pesisir dalam tempoh sehari. Selain memberi manfaat segera kepada alam sekitar, program itu turut membuktikan keberkesanan sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti yang semakin berkembang sejak diperkenalkan empat bulan lalu.

Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia, Adzmin Fatta berkata, program perintis yang dilancarkan pada Mac 2026 itu telah berkembang daripada 50 isi rumah kepada kesemua 100 isi rumah di Kampung Sri Aman, sekali gus mewujudkan antara sistem pengurusan sisa berasaskan komuniti yang pertama dan tersusun di Semporna.

“Setiap isi rumah kini mengasingkan sisa mengikut kategori sebelum dihantar ke pusat pengumpulan setiap Isnin dan Jumaat untuk ditimbang, direkodkan serta dihantar ke lokasi pelupusan yang sesuai.

“Pemantauan dari rumah ke rumah serta sistem pemarkahan isi rumah turut diperkenalkan bagi menggalakkan pengasingan sisa yang lebih baik dan memperkukuh perubahan tingkah laku dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehingga 22 Jun 2026, program itu merekodkan sebanyak 3,974.52 kilogram sisa berjaya dialihkan daripada memasuki alam sekitar menerusi sistem pengumpulan komuniti, dengan plastik menjadi bahan yang paling banyak dikumpulkan.

Bagi memperkukuh pelaksanaan program, penduduk turut bergotong-royong membina sebuah Rumah Pengumpulan Sisa yang diuruskan komuniti sebagai pusat penyimpanan bahan kitar semula dan penyelarasan aktiviti pengumpulan sisa.

Kemudahan itu bukan sekadar menyediakan infrastruktur, malah melambangkan komitmen jangka panjang penduduk dalam menguruskan sisa secara kolektif dan sistematik.

Program gotong-royong itu turut menerima kunjungan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Senallang, Roslan Mohd. Padlan, yang memuji usaha komuniti serta menyatakan sokongan terhadap inisiatif berkenaan.

Meneruskan momentum tersebut, Ketua Kampung Sri Aman, Hassan Gabra Hajan berkata, pihaknya bercadang menjadikan program gotong-royong sebagai aktiviti bulanan bagi melengkapkan sistem pengumpulan sisa sedia ada, di samping menggalakkan lebih ramai penduduk bersama-sama menjaga kebersihan dan kesihatan kampung.

“Pengurusan sisa bukan sekadar mengutip sampah, tetapi membina rasa tanggungjawab dalam kalangan komuniti, mengubah tingkah laku dan mewujudkan sistem yang mampu dikendalikan sendiri oleh masyarakat.

“Kampung Sri Aman membuktikan bahawa apabila komuniti diberi sokongan dan kepimpinan yang sesuai, mereka mampu menjadi pemacu utama dalam menyelesaikan isu yang berlarutan seperti pengurusan sisa,” katanya.

Sistem Pengurusan Sisa Berasaskan Komuniti yang diperkenalkan itu menjadi model demonstrasi bagaimana kerjasama antara komuniti, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan dan sektor swasta mampu mengurangkan kebocoran sisa ke laut, selain memperkukuh pengurusan alam sekitar di peringkat komuniti.

Reef Check Malaysia berharap pengalaman Kampung Sri Aman dapat menjadi inspirasi kepada pelaksanaan inisiatif pengurusan sisa berasaskan komuniti di perkampungan air sekitar Semporna serta komuniti pesisir pantai lain di Sabah.

LEAVE A RESPONSE