Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pasport Malaysia Antara  Terkuat Dunia, Proses Pengeluaran Antara Paling Pantas – Nga Kor Ming

Read Time:1 Minute, 50 Second

YONG PENG — Pasport Malaysia kini berada dalam kelompok teratas pasport paling berkuasa di dunia, sekali gus mencerminkan peningkatan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata, pasport Malaysia yang digelar sebagai “buku merah kecil” membolehkan rakyat negara ini memasuki 184 negara tanpa memerlukan visa, sekali gus meletakkan Malaysia mengatasi beberapa negara maju dari segi kemudahan perjalanan antarabangsa.

“Pasport Malaysia kini berada di antara kedudukan terbaik di dunia. Kita boleh memasuki 184 negara tanpa memerlukan visa. Ini adalah pengiktirafan dunia terhadap Malaysia.

“Pasport Malaysia juga lebih dialu-alukan berbanding pasport China dan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada ceramah sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Yong Peng, malam tadi.

Nga berkata, Malaysia turut mencatat satu lagi pencapaian apabila sistem pengeluaran pasport negara diiktiraf sebagai antara yang terpantas di dunia.

Menurut beliau, urusan pengeluaran pasport di Malaysia hanya mengambil masa kira-kira sejam berbanding tiga hari di Singapura.

“Malaysia kini diiktiraf sebagai negara yang mempunyai proses pengeluaran pasport paling pantas di dunia. Singapura mengambil masa tiga hari, tetapi di Malaysia hanya sekitar satu jam,” katanya.

Dalam ucapannya, Nga turut mengaitkan pencapaian itu dengan prestasi ekonomi negara yang menurut beliau semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa hasil kestabilan politik dan dasar kerajaan yang konsisten.

Beliau berkata, Malaysia kini berada di tangga ke-15 dalam kedudukan daya saing dunia selepas meningkat daripada kedudukan ke-34 dan kemudian ke-23 dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

“Malaysia kini mengatasi beberapa negara maju seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Jepun dalam ranking daya saing dunia,” katanya.

Nga turut mendakwa laporan sebuah institusi kewangan antarabangsa menyenaraikan Malaysia sebagai antara dua negara di Asia yang mempunyai daya tahan tinggi dalam menghadapi krisis tenaga global.

Beliau berkata, antara petunjuk yang menunjukkan prestasi ekonomi negara semakin kukuh ialah kadar pengangguran yang menurun kepada 2.9 peratus, peningkatan rizab pertukaran asing negara kepada lebih AS$130 bilion serta nilai perdagangan Malaysia yang melepasi RM3 trilion.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia terus meningkat dan negara berada di landasan yang tepat untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan ceramah kempen Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng.

LEAVE A RESPONSE