Read Time:2 Minute, 3 Second
TANGKAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan seluruh rakyat, khususnya di Johor, supaya tidak memandang ringan terhadap kepentingan memilih pemimpin dan menggesa mereka mempertahankan negeri daripada kembali dikuasai golongan yang korup.
Beliau menegaskan, agenda utama penentangnya dalam pilihan raya bukanlah demi kebajikan rakyat, sebaliknya mempunyai matlamat besar untuk kembali berkuasa dan mengulangi budaya lama.
”Semua orang mahu jadi pemimpin. Ini, pilihan raya Johor, semua mahu jadi Menteri Besar, semua parti… semua mahu jadi wakil rakyat. Ya, kita pilih. Jangan pandang ringan.
”Mereka ada agenda lebih besar. They want to control back the country (Mereka mahu mengawal semula negara).
”Jadi saya kata, you jaga ini negeri, jangan bagi orang curi!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan di Tangkak, malam tadi.
Mengulas lanjut, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menjelaskan bahawa ketegasan menjaga tata kelola dan mengekang amalan rasuah amat kritikal memandangkan negara kini mula meraih hasil pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit.
Beliau berkongsi kejayaan rundingan diplomatik terbaharu dengan Rusia dan Turkmenistan, termasuk kejayaan Petronas memperoleh hak eksklusif bagi menguruskan blok rizab gas antara yang terbesar di dunia di Turkmenistan.
”Ini untuk Malaysia diuruskan oleh Petronas. Guarantee (Jaminan) 5 tahun, 10 tahun, 20 tahun, anak-anak kita, cucu kita, termasuk di Johor, guarantee gas supply 20, 30 tahun! Puluh-puluh bilion ringgit masuk!
”Itu sebab orang mau race (berlumba), mau jawatan, sebab puluh bilion mau masuk. Ingat, kita kerja kuat-kuat… You jaga ini negeri, jangan bagi orang curi!” tegas beliau lagi.
Anwar turut menyatakan beliau sedia memberikan tabik hormat dan menyerahkan kepimpinan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang mampu menawarkan pentadbiran yang jauh lebih bersih dan telus daripada apa yang dibawanya sekarang.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa sangsi terhadap kredibiliti barisan kepimpinan pembangkang yang dikenali beliau sebelum ini, yang didakwanya masih angkuh dan dipacu dendam politik.
”Kalau ada dia cerita, ‘We want to have satu negara yang lebih bersih, no corruption (tiada rasuah),’ saya salut. Saya nak lebih bersih daripada Anwar. Kalau boleh, saya pun bukan muda lagi, kalau much better team (pasukan lebih baik), saya salut, silakan. Tapi kalau yang saya kenal, no way (tidak mungkin)! Tak boleh. Ini jahanam ini negeri!” katanya.
Sehubungan itu, Anwar meminta rakyat supaya bersabar dan memberikan ruang kepada kerajaan sedia ada untuk fokus bekerja memulihkan ekonomi, memandangkan tempoh pilihan raya umum masih lambat lagi.
”Kerajaan ini penting. Sebab itu, macam Johor tak sabar, dia tengok eh takut terlepas nanti pula. Tak sabar, sabarlah sekejap. Pilihan raya lambat lagi. Buatlah kerja dulu,” ujarnya.






