Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

96 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu JIM Sabah

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Seramai 96 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam operasi penguatkuasaan bersepadu yang dilaksanakan di Kota Kinabalu dan Tawau bagi mengesan serta mengekang pelanggaran undang-undang imigresen.

Operasi yang dijalankan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa itu menyasarkan lokasi tumpuan warga asing dan kawasan yang dikenal pasti mempunyai risiko berlakunya pelanggaran syarat imigresen.

Dalam operasi di Kota Kinabalu, operasi bersepadu yang melibatkan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Penampang menerusi Ops Kutip dan Ops Sapu telah memeriksa seramai 214 individu.

JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati 52 warga asing dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan menyalahgunakan pas yang dikeluarkan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 20 perempuan dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan, yang kesemuanya merupakan warganegara Filipina.

“Sementara itu, di Tawau, operasi bersepadu yang dilaksanakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Tawau menerusi Ops Sapu, Ops Selera dan Ops Mahir telah memeriksa 120 individu.

“Daripada jumlah tersebut, 44 warga asing ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” menurut kenyataan itu di sini pada Ahad.

Menurut kenyataan itu lagi, tangkapan membabitkan 33 warga Filipina, terdiri daripada 31 lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa, serta 11 warga Indonesia yang merangkumi enam lelaki dewasa dan lima perempuan dewasa.

JIM Sabah memaklumkan semua individu yang ditahan dibawa ke depot imigresen bagi tujuan siasatan lanjut dan proses dokumentasi sebelum tindakan selanjutnya diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut jabatan itu, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan secara berterusan sebagai langkah membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara.

LEAVE A RESPONSE