Read Time:1 Minute, 23 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Lebih 1,900 atlet dari 23 kontinjen melibatkan Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Sabah menyertai kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Sabah (SUIPTS) yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini.
Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula pada Khamis itu mempertandingkan sebanyak 10 acara.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Ahmad Rizal Adnan.

Ahmad Rizal ketika berucap berkata, SUIPTS boleh dijadikan sebagai wadah yang akan memperkasakan ekosistem sukan IPT di Sabah secara konsisten dan berterusan.
“Selain itu, penganjuran ini juga akan membuka ruang kepada atlet-atlet mahasiswa di Sabah yang mempunyai kekangan untuk menyertai kejohanan di semenanjung untuk bersaing dalam kejohanan yang kompetitif dan seterusnya berpeluang beraksi di peringkat yang lebih tinggi.
“Kita sedar bahawa kedudukan geografi Sabah memberikan cabaran yang tersendiri. Namun cabaran tersebut tidak seharusnya menjadi penghalang untuk atlet di sini menyerlahkan bakat dan potensi mereka.

“SUIPTS inilah yang akan menjadi landasan yang sangat signifikan dalam memastikan peluang penyertaan yang lebih inklusif dan saksama kepada atlet di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan kejohanan itu di Dewan Canselor UMS di sini pada Khamis.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor UMS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dr Raman Nordin.
Ahmad Rizal berkata, penganjuran kejohanan itu wajar dijadikan sebagai acara tahunan agar prestasi atlet yang lahir dari kejohanan ini dapat dimaksimumkan sehingga ke peringkat tertinggi.

“Saya percaya kesemua kontinjen telah membuat persediaan yang rapi bagi memberikan aksi yang terbaik apabila turun bersaing di gelanggang nanti.
“Mereka inilah yang akan menjadikan SUIPTS menjadi sentiasa relevan sebagai satu
kejohanan sukan yang kompetitif bagi menyerlahkan kebolehan atlet IPT di negeri ini,” katanya. – SABAH MEDIA





