Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah bersetuju untuk memberikan bonus kemenangan sebanyak RM700,000 kepada pasukan Sabah FC selepas berjaya menjuarai perlawanan akhir Piala Cabaran menentang Penang FC di Stadium Likas malam tadi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika ditemui selepas meraikan kemenangan bersama pasukan The Rhinos.
“Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah menelefon saya dan meminta saya untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pemain serta pengurusan Sabah FC yang telah berusaha sedaya upaya dalam 120 minit untuk mencipta kemenangan dengan penentuan sepakan penalti 4-3.
“Beliau juga telah memaklumkan kepada saya untuk menyampaikan pesanan ini bahawa Kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau bersetuju untuk memberi bonus kemenangan kepada semua pengurusan dan pemain Sabah FC Sebanyak RM RM 500,000.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah bersetuju untuk menyalurkan insentif tambahan sebanyak RM200,000 sebagai tanda penghargaan terhadap pencapaian cemerlang ini,” katanya.
Nizam berkata, Ketua Menteri berharap agar masa depan bola sepak Sabah akan terus bergerak maju dan terus cemerlang di arena bola sepak Malaysia.
Katanya, kejayaan itu merupakan satu detik yang bermakna buat bola sepak Sabah, khususnya selepas penantian yang panjang untuk melihat pasukan negeri kembali menjulang trofi dalam saingan domestik.
“Perlawanan akhir yang berlangsung dalam suasana penuh debaran ini memperlihatkan ketahanan mental, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh kedua-dua pasukan sehingga ke penentuan sepakan penalti.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para penyokong yang hadir memenuhi Stadium Likas dan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.
“Sokongan padu ini jelas menjadi antara faktor penting yang menyuntik semangat kepada pasukan di saat-saat genting,” katanya. – SABAH MEDIA






