Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

560 peserta warnai perarakan budaya sempena hari etnik Sabah esok


KOTA KINABALU: Perarakan budaya yang julung kali dianjurkan bakal menjadi tarikan utama sempena sambutan Hari Etnik Sabah 6.0 yang dijadual berlangsung esok.

Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), Mackey Apisan berkata, perarakan berkenaan akan melibatkan seramai 560 peserta termasuk 182 presiden persatuan etnik dan badan kebudayaan, mewakili 35 etnik utama di negeri ini.

Beliau berkata, perarakan tersebut dijangka bermula pada jam 4 petang dari Dataran Deasoka dan akan berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dengan jarak perjalanan kira-kira 2.3 kilometer.

“Penganjuran perarakan ini bukan sahaja menonjolkan keunikan warisan setiap etnik, malah menjadi simbol perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Hari Etnik Sabah 6.0 turut menjadi platform penting dalam usaha memartabatkan serta memelihara kepelbagaian budaya agar tidak pupus ditelan arus kemodenan.

“Setiap etnik memikul tanggungjawab untuk memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir dengan mengenakan pakaian etnik masing-masing bagi memeriahkan sambutan ini sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasa budaya negeri,” katanya.

Program anjuran LKNS itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah.

LEAVE A RESPONSE