Read Time:2 Minute, 18 Second
TENOM: Program kebun sekolah yang bertujuan memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan dan keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dijangka diperluaskan secara lebih meluas di seluruh Sabah bermula tahun hadapan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan menerusi kerjasama dengan kementeriannya.
Menurut beliau, beberapa sekolah yang menawarkan mata pelajaran pertanian di peringkat Tingkatan Empat telah memulakan inisiatif tersebut, namun usaha itu perlu diperluaskan ke lebih banyak sekolah.
“Ada sekolah yang menawarkan subjek pertanian dan telah melaksanakan kebun sekolah. Namun terdapat juga sekolah yang tidak mempunyai subjek berkenaan.
“Kita berharap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat memainkan peranan lebih aktif membantu pihak sekolah, manakala kementerian akan menyediakan khidmat nasihat serta sokongan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Guru di Sekolah Menengah St Anthony, di sini, pada Selasa.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, semua pegawai pertanian serta agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk membantu sekolah yang berminat melaksanakan projek kebun sekolah.
“Saya telah mengarahkan semua pegawai pertanian dan pegawai agensi di bawah kementerian supaya membantu sekolah-sekolah yang ingin melaksanakan program ini.
“Sekiranya ia berjalan dengan baik dan mendapat kerjasama semua pihak, kita akan gerakkan program ini secara besar-besaran pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata, fokus bagi tahun ini adalah meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepentingan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
Menurutnya, pemahaman mengenai keterjaminan makanan perlu diterapkan sejak awal supaya pelajar menyedari bahawa pertanian bukan sahaja sumber bekalan makanan, malah satu bidang keusahawanan yang mampu menjana pendapatan.
“Keterjaminan makanan perlu bermula dari peringkat awal agar anak-anak memahami bahawa pertanian adalah satu perniagaan yang penting dan pada masa sama membekalkan makanan kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata kementeriannya terus menekankan pendekatan kerja lapangan dengan nisbah 60 peratus di lapangan dan 40 peratus di pejabat.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan pegawai memahami masalah sebenar di lapangan dan menyelesaikannya dengan lebih berkesan.
“Saya mahu memasyarakatkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan kepada penduduk kampung kerana merekalah pengguna dan pengeluar utama hasil pertanian, perikanan serta makanan,” katanya.
Mengulas perkembangan lain, beliau berkata kementerian sedang membuat persiapan akhir untuk melancarkan platform digital kebundapur.com bagi membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil mereka secara terus kepada pengguna.
Menurutnya, platform itu dijangka dapat mengurangkan peranan orang tengah sekali gus meningkatkan pulangan kepada pengeluar.
Hadir sama Pengerusi SM St Anthony Tenom, Samuel Stimin; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Melalap, Denesly Justin serta beberapa pemimpin setempat.
Dalam acara berasingan, Jamawi turut merasmikan Mural Tenom Moonsoi Onsoi yang dihasilkan sekumpulan anak muda Tenom yang aktif dalam bidang seni lukis.
Mural tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh 40 jam dan menjadi simbol kreativiti serta semangat komuniti belia di daerah itu.






