Read Time:4 Minute, 44 Second
Oleh Wan Azrain Adnan
Walaupun ramai pekerja di negara ini telah kehilangan pekerjaan, jumlah dan peratusannya masih kecil. Setakat ini, pasaran buruh negara kekal kukuh dengan kadar pengangguran berada pada tahap yang rendah.
Beberapa hari lalu, Menteri Ekonomi Malaysia dilaporkan berkata seramai 7,057 pekerja kehilangan pekerjaan pada April 2026, meningkat 21% berbanding 5,855 pekerja pada Mac 2026.
Secara keseluruhan, sepanjang empat bulan pertama tahun 2026 (Januari hingga April), seramai 31,082 pekerja telah kehilangan pekerjaan.
Menurut beliau, walaupun jumlah kehilangan pekerjaan telah menurun berbanding awal tahun 2026, situasi ini perlu dipantau secara teliti bagi memastikan pekerja yang terjejas menerima bantuan dan sokongan sewajarnya.
Namun begitu, beliau tidak memperincikan maklumat berkaitan kehilangan pekerjaan tersebut, termasuk punca kehilangan pekerjaan, sektor ekonomi dan industri yang terjejas serta lokasi pekerja yang terlibat.
Mengulas isu berkenaan, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan bahawa jumlah kehilangan pekerjaan terkini tidak seharusnya mencetuskan kebimbangan berlebihan.
Beliau berkata, ramai majikan kini mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja susulan ketidaktentuan ekonomi global, gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik dunia.
Menurut beliau lagi, pemilik perniagaan kini lebih memberi tumpuan kepada pengoptimuman tenaga kerja sedia ada berbanding pengambilan pekerja baharu. Ini termasuk pembekuan pengambilan bagi jawatan yang tidak kritikal serta peningkatan penggunaan automasi dan pendigitalan.
Beberapa hari lalu juga, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerbitkan Laporan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Kedua 2026.
Laporan tersebut memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi Suku Kedua 2026 dan tempoh enam bulan berikutnya (April hingga September 2026), berdasarkan Petunjuk Keyakinan dan Imbangan Bersih dalam kalangan komuniti perniagaan.
Fakta menarik. Berdasarkan definisi DOSM:
Petunjuk Keyakinan merumuskan pandangan jangka pendek keseluruhan mengenai keadaan perniagaan dalam pelbagai sektor ekonomi negara.
Ia dihitung sebagai purata jumlah imbangan bersih bagi pemboleh ubah terpilih.
Imbangan Bersih pula merujuk kepada perbezaan antara peratus pertubuhan yang memberikan respons menggalakkan dengan yang memberikan respons kurang menggalakkan.
Secara keseluruhan, komuniti perniagaan menjangkakan prospek perniagaan yang lebih sederhana pada Suku Kedua 2026, dengan Petunjuk Keyakinan menurun kepada -1.8%, berbanding +4.0% pada Suku Pertama 2026.
Lebih membimbangkan, sentimen komuniti perniagaan merosot sehingga Petunjuk Keyakinan kembali negatif selepas merekodkan +6.2% pada Suku Keempat 2025, iaitu tahap tertinggi dalam tempoh tiga tahun (2023–2026).
Pada masa yang sama, tiga sektor ekonomi utama negara iaitu Industri, Pembinaan serta Perdagangan Borong dan Runcit merekodkan Petunjuk Keyakinan negatif.
Sebaliknya, sektor Perkhidmatan kekal positif pada +6.2%, sama seperti yang dicatatkan pada Suku Pertama 2026.
Sektor Pembinaan pula mencatatkan perubahan sentimen paling ketara apabila Petunjuk Keyakinannya merosot daripada +1.4% kepada -9.5%.
Selain itu, lebih banyak negeri dan wilayah merekodkan sentimen pesimis, dengan sembilan negeri dan wilayah mencatatkan Petunjuk Keyakinan negatif berbanding hanya tujuh yang kekal positif.
Terengganu (+5.5%) merekodkan Petunjuk Keyakinan tertinggi, manakala Wilayah Persekutuan Labuan (-9.5%) mencatatkan yang terendah.
Keadaan ini menggambarkan jangkaan dan situasi perniagaan yang berbeza antara negeri dan wilayah di seluruh negara.
Pada masa yang sama, Sabah merekodkan perubahan sentimen yang ketara apabila Petunjuk Keyakinan bertukar daripada +2.4% pada Suku Pertama 2026 kepada -7.6% pada Suku Kedua 2026.
Terdahulu, Sabah pernah merekodkan Petunjuk Keyakinan yang sangat tinggi iaitu +8.2% pada Suku Ketiga 2025.
Seterusnya, laporan berkenaan menunjukkan bahawa sebahagian besar peniaga (75.8%) menjangka akan mengekalkan jumlah pekerja sedia ada sehingga Suku Kedua 2026.
Manakala 14.7% menjangka akan mengambil lebih ramai pekerja.
Hanya 9.5% peniaga menjangka akan mengurangkan bilangan pekerja.
Semalam, Presiden Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dilaporkan berkata bahawa segmen tertentu dalam sektor perniagaan berdepan risiko penutupan sementara pada Separuh Kedua 2026 berikutan gangguan bekalan global akibat konflik di Timur Tengah.
Golongan yang paling terkesan ialah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta sektor pembuatan yang bergantung kepada import dan kini berdepan kekurangan kritikal bahan mentah, kelewatan penghantaran serta peningkatan mendadak kos operasi.
Menurut beliau, krisis ini dijangka memuncak pada Jun dan Julai 2026.
Antara dapatan utama tinjauan FMM adalah:
- 70% pengilang berdepan kekurangan kritikal bahan mentah seperti resin, polimer, petrokimia dan logam;
- 8% ahli FMM mempunyai stok bahan utama kurang daripada dua minggu;
- 40% ahli FMM hanya mempunyai stok yang mencukupi untuk tempoh satu hingga dua bulan;
- 72% pengilang melaporkan keadaan operasi yang semakin merosot;
- 74.5% pengilang mengalami peningkatan kos sekurang-kurangnya 10% berbanding sebelum krisis;
- 68% berdepan masalah modal kerja dan aliran tunai akibat pembayaran lewat oleh pembeli serta syarat pembayaran yang lebih ketat daripada pembekal; dan
- 28% pengilang telah melaksanakan pelarasan tenaga kerja termasuk mengurangkan kerja lebih masa dan membekukan pengambilan pekerja.
Beliau menegaskan bahawa sekiranya krisis berterusan sehingga Jun dan Julai 2026, risiko penutupan sementara, pengurangan waktu bekerja, pengurangan pengeluaran, pembekuan pengambilan pekerja dan pengecilan operasi akan meningkat dengan ketara.
Namun begitu, walaupun data dan maklumat industri menggambarkan situasi yang agak suram, Laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2026 yang diterbitkan oleh DOSM minggu lalu menunjukkan bahawa pasaran buruh negara masih kekal kukuh dan berdaya tahan.
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh berada pada 70.9%, meningkat 0.1 mata peratusan berbanding Suku Keempat 2025.
Pada masa yang sama, kadar pengangguran negara menurun kepada 2.9%, meneruskan trend penurunan yang konsisten sepanjang tempoh dua tahun (2024–2026).
Jumlah penganggur juga berkurangan daripada 508,300 orang pada Suku Keempat 2025 kepada 506,500 orang pada Suku Pertama 2026.
Secara amnya, kadar pengangguran di bawah 4% diterima pakai di peringkat antarabangsa sebagai keadaan guna tenaga penuh (full employment).
Sumber: Sorotan Pasaran Buruh Suku Pertama 2026 – 22 Mei 2026
Dengan pasaran buruh yang masih kukuh, serta jaringan keselamatan (safety net) yang disediakan kerajaan melalui pelbagai inisiatif seperti skim insurans pekerjaan serta program latihan upskilling dan reskilling, pekerja yang kehilangan pekerjaan boleh dibantu secara lebih pantas dan tersusun.
Langkah ini bukan sahaja membantu menampung pendapatan pekerja ketika mereka menganggur, malah membolehkan mereka kembali menyertai pasaran buruh dalam tempoh yang lebih singkat.






