Read Time:2 Minute, 10 Second
KUALA LUMPUR: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) meraih enam pengiktirafan pada IGNITE 2026 Project Management Awards, sekali gus membuktikan keupayaan modal insan dan kepimpinan syarikat dalam pengurusan projek strategik serta inovasi industri tenaga.
Pengiktirafan yang berlangsung di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan bakat, penguasaan ilmu profesional dan pengalaman praktikal bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam mengurus projek kompleks serta memenuhi keperluan industri tenaga yang semakin dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, pencapaian itu menyerlahkan kecemerlangan pelaksanaan projek serta keupayaan warga kerja mengaplikasikan kepakaran teknikal, pendigitalan dan kepimpinan projek untuk menghasilkan nilai tambah kepada organisasi dan pelanggan.
Antara pengiktirafan utama ialah kemenangan Ir. Dayang Sitti Noradzlin Yunos dalam kategori Best Project Manager (Non PMIMY Member), manakala Ir. Ts. Suadi Wahab menerima Honourable Mention bagi kategori Best Project Manager (PMIMY Member).
Sabah Electricity turut memenangi kategori Outstanding Project (Construction / Infrastructure) menerusi Projek Capacitor Bank 132kV di PMU Tawau dan kategori Best Digital & AI menerusi Major Project Division Digitalization Project.
Sementara itu, Projek PPU Benoni 33/11kV, Papar menerima Honourable Mention dalam kategori Engineering & Technology. Sabah Electricity turut mara ke peringkat akhir bagi kategori Best Project of the Year (Excellence Award).
“Pencapaian ini memperlihatkan bagaimana gabungan kepakaran kejuruteraan, keupayaan digital dan kepimpinan projek memainkan peranan penting dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan berkesan serta memberikan nilai tambah kepada operasi syarikat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Selaras dengan tema IGNITE 2026, Project Manager as Orchestrator: The Guardian of Project Value, kejayaan pengurusan projek bukan hanya diukur berdasarkan tempoh pelaksanaan dan kos, tetapi turut mengambil kira nilai, impak serta manfaat jangka panjang yang dihasilkan.
Mohd Yaakob berkata, pengiktirafan itu turut mengukuhkan kepentingan modal insan sebagai aset strategik organisasi, seiring dengan usaha syarikat memberi tumpuan kepada pembangunan kompetensi, perkongsian ilmu, pengukuhan kepimpinan dan penerapan budaya inovasi.
Menurutnya, elemen berkenaan penting dalam membentuk pasukan yang berupaya mendepani cabaran teknologi serta memenuhi keperluan sistem bekalan elektrik yang semakin kompleks.
Sabah Electricity turut menerima pengiktirafan pada 2025 apabila projek Battery Energy Storage System (BESS) di Lahad Datu meraih tiga pengiktirafan menerusi Project Management Awards 2025.
Pengiktirafan itu merangkumi Best Project Manager, Green Initiative Winner dan Best Project of the Year – Excellent Award, yang mencerminkan keupayaan syarikat dalam pengurusan projek, pelaksanaan inisiatif hijau dan pembangunan infrastruktur tenaga.
Beliau berkata, Sabah Electricity akan terus memperkukuh keupayaan serta profesionalisme warga kerjanya bagi memastikan kepakaran yang dimiliki diterjemahkan kepada pelaksanaan projek yang lebih cekap, inovatif dan mampan.
“Usaha ini juga penting bagi menyokong peningkatan kebolehpercayaan bekalan elektrik serta mutu perkhidmatan kepada pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.





