SANDAKAN: Sebanyak 15 ekor lembu disumbangkan bagi ibadah korban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Sumbangan lembu korban itu diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa bagi membantu umat Islam di kawasan berkenaan meraikan Aidiladha.
Hazem berkata, beliau berharap sambutan Aidiladha tahun ini dapat diraikan dalam suasana harmoni, sederhana dan penuh kesyukuran.
“Saya berharap sambutan ini diraikan dengan sederhana dan harmoni,” katanya.
Selain penyerahan lembu korban, Hazem yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu turut menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sentosa, Jalan Sungai Batang.
Beliau kemudian mengadakan kunjungan ke beberapa rumah terbuka termasuk bertemu rakan-rakan serta ahli cawangan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Hazem turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya di DUN Sungai Manila.
Katanya, Aidiladha merupakan medan terbaik untuk memperkukuhkan semangat perpaduan, pengorbanan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.






