Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

UMS perkasa agenda keusahawanan mahasiswa bersama KUSKOP


Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkasa agenda pembangunan keusahawanan mahasiswa menerusi penganjuran Program Siri Bicara Usahawan bersama Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin, program tersebut merupakan manifestasi kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasa budaya keusahawanan mahasiswa.

“Mahasiswa perlu dibentuk bukan sahaja sebagai pencari pekerjaan tetapi juga pencipta peluang pekerjaan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita mahu melahirkan usahawan yang berilmu, berinovasi dan mampu bersaing dalam era globalisasi dan transformasi digital yang berkembang pantas ketika ini.

“KUSKOP melalui pelbagai agensinya turut menyediakan latihan, bimbingan dan pembiayaan kepada mahasiswa menerusi program seperti PROTÉGÉ, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), TEKUN Nasional dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 23, UMS.

Tambah Alamin, kerajaan juga menyediakan pelbagai platform digital termasuk MyMall dan ‘TEKUN TikTok Studio’ bagi membantu usahawan muda memperkukuh pemasaran produk secara digital.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, UMS sentiasa komited dalam memperkasa pembangunan keusahawanan mahasiswa selaras dengan aspirasi universiti sebagai The Brain of Borneo, di samping mendukung usaha memacu pembentukan masyarakat yang inovatif dan berdaya saing.

“Budaya keusahawanan di UMS diterapkan secara menyeluruh kepada pelajar daripada pelbagai bidang pengajian termasuk sains, teknologi, perubatan, perhutanan, pertanian dan sains sosial.

“Antara pendekatan utama yang dilaksanakan ialah menerusi Kursus Asas Pembudayaan Keusahawanan yang merupakan kursus wajib universiti dan perlu diambil oleh pelajar pada tahun kedua pengajian.

“Melalui kursus ini, mahasiswa bukan sahaja mempelajari teori asas perniagaan tetapi turut menjalankan aktiviti perniagaan sebenar secara praktikal dan digital termasuk pemasaran menerusi media sosial serta platform e-dagang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Datuk Dr. Rossita Shapawi.

Tambah Kasim, UMS berjaya menjadi antara universiti yang mencatat pencapaian tertinggi di Malaysia dalam melahirkan graduan usahawan bagi tahun 2022, 2023 dan 2024, hasil usaha berterusan universiti dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan.

“Pada tahun 2022, UMS turut merekodkan kadar graduan bekerja sendiri tertinggi dalam kalangan universiti awam di Malaysia.

“Pada tahun 2025 pula, lebih 3,500 pelajar UMS direkodkan aktif menjalankan perniagaan semasa dalam pengajian melibatkan pelbagai sektor termasuk makanan dan minuman, teknologi digital, pertanian moden serta produk inovasi.

“UMS turut berjaya disenaraikan sebagai finalis Top 5 Anugerah Universiti Terbaik dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT),” kata beliau.

Hadir sama Pengarah Pusat Pembanguan Kerjaya dan Keusahawanan (CEDeC) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Sidah Idris dan Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Rusman Dulamit.

LEAVE A RESPONSE