Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Usikan meter punca bil elektrik melonjak – Sabah Electricity


Read Time:1 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) mendedahkan sebuah premis yang dikaitkan dengan hantaran tular mengenai ‘renjatan bil elektrik’ didapati melakukan kecurian elektrik melalui usikan pada pepasangan meter.

Ketua Pegawai Eksekutif SE Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan pada Februari lalu mendapati terdapat wayar tambahan dipasang di belakang papan meter bagi memintas sistem bacaan penggunaan elektrik.

Beliau berkata, tindakan itu menyebabkan sebahagian arus elektrik tidak melalui meter, sekali gus menjadikan penggunaan sebenar tidak direkod sepenuhnya.

“Meter hanya mencatatkan sebahagian kecil penggunaan elektrik, menyebabkan bil yang diterima jauh lebih rendah daripada penggunaan sebenar,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini pada Selasa.

Beliau berkata, selepas pasukan teknikal SESB menanggalkan sambungan haram itu dan menormalkan semula sistem meter, bacaan penggunaan kembali kepada kadar sebenar.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan bil elektrik premis berkenaan meningkat secara mendadak daripada sekitar RM100 kepada antara RM600 hingga RM800 sebulan.

“Peningkatan ini bukan disebabkan kesilapan sistem, sebaliknya kerana meter kini merekodkan penggunaan sebenar selepas sambungan pintasan dibuang,” katanya.

Menurutnya lagi, perbuatan itu diklasifikasikan sebagai Kes Usikan Pepasangan Meter (KUPM) iaitu satu bentuk kecurian elektrik yang menyalahi undang-undang.

Susulan itu katanya, pihaknya mengeluarkan notis tuntutan kira-kira RM11,000 bagi mendapatkan semula kerugian hasil penggunaan elektrik yang tidak direkod sebelum ini.

Tambahnya, kes tersebut mendapat perhatian selepas seorang individu memuat naik hantaran di media sosial mendakwa “terkena renjatan bil elektrik”, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna.

Bagaimanapun pihaknya menegaskan bahawa siasatan mendapati punca sebenar kenaikan bil adalah akibat pengubahsuaian meter secara tidak sah.

Syarikat itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang usikan pada pepasangan meter kerana tindakan tersebut merupakan kesalahan di bawah undang-undang bekalan elektrik dan boleh dikenakan tindakan undang-undang serta tuntutan kerugian.

LEAVE A RESPONSE