KOTA KINABALU: Seorang jurujual dipenjara lima tahun dan didenda RM1,000, atau sebulan penjara, kerana menggunakan dua keping wang kertas palsu RM100 sebagai tulen di sebuah stesen minyak.
Hakim Mahkamah Sesyen Zaini Fishir @ Fisal menjatuhkan hukuman itu ke atas Jeremy Vun, 30, selepas mendapati tertuduh bersalah melakukan kesalahan tersebut di stesen minyak Shell Taman Yakim di Jalan Tuaran pada 15 April 2024.
Tertuduh disabitkan atas kesalahan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh membayar pampasan kepada pemilik stesen minyak tersebut sebanyak RM500, atau sebulan penjara jika gagal membayar pampasan itu.
Semasa perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim telah memanggil enam saksi untuk memberi keterangan terhadap tertuduh.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merupakan satu-satunya saksi pembelaan.






