KOTA KINABALU: Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berlangsung di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini, diadakan secara sederhana namun tetap meriah serta berjaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Naib Presiden PBS Datuk Ruslan Muharam berkata, penganjuran secara sederhana itu tidak menjejaskan matlamat utama program, sebaliknya memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.

“Penganjuran majlis itu mencerminkan pendekatan kesederhanaan PBS dalam meraikan sambutan perayaan.
“Kepelbagaian kaum dalam PBS serta masyarakat Sabah secara keseluruhan menjadi kekuatan utama dalam membina keharmonian dan perpaduan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis itu di sini pada Selasa.
Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden PBS dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan bersama, majlis itu juga selaras dengan usaha mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.






