Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SMK Benoni sekolah angkat MADANI KPDN 2026

Read Time:1 Minute, 33 Second

PAPAR: SMK Benoni dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi tahun 2026, dengan peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan pembelajaran dan persekitaran sekolah.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan itu antaranya digunakan untuk menaik taraf Bengkel Sains Rumah Tangga dan Bengkel Rekaan Jahitan Pakaian, selain membaiki bumbung tambahan surau serta membeli aset bagi menambah baik persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Katanya, penambahbaikan kedua-dua bengkel itu mengambil kira SMK Benoni merupakan satu-satunya sekolah di Sabah yang menawarkan mata pelajaran Rekaan Jahitan Pakaian.

“Program Sekolah Angkat MADANI merupakan inisiatif yang diperkenalkan pada 2025 bagi memperkasa pendidikan secara menyeluruh melalui kerjasama kementerian dan agensi kerajaan, sektor swasta serta masyarakat.

“Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan sosial, pemerkasaan komuniti sekolah, pembangunan sahsiah dan kemahiran murid,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, bagi 2026, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM50 juta untuk pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI, dengan RM100,000 diperuntukkan kepada setiap kementerian bagi melaksanakan program dan projek di sekolah terpilih.

Menurutnya, sebelum ini KPDN melaksanakan program sama di SK Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah pada 2025.

Beliau berkata, selain peruntukan berkenaan, SMK Benoni turut menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada agensi KPDN dan syarikat swasta.

Sumbangan itu meliputi pembinaan Dewan Serbaguna, kelengkapan bilik darjah dan alat bantu mengajar, sokongan kepada program kecemerlangan akademik serta pembangunan sahsiah, selain bantuan kewangan kepada murid asnaf, fakir miskin dan yatim piatu.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi KPDN, syarikat swasta, pihak yang menyumbang serta warga SMK Benoni atas komitmen menjayakan program berkenaan.

“Semoga pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI bukan sahaja dapat menambah baik kemudahan di SMK Benoni, malah membantu memperkasa komuniti sekolah serta meningkatkan pencapaian dan kemahiran murid dalam pelbagai aspek,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran program itu ialah ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra.

LEAVE A RESPONSE