Sabah, Sarawak Terima Manfaat Terbesar Pasaran Karbon Negara, tegaskan Malaysia bukan Tapak Buangan E-Waste Dunia
Read Time:1 Minute, 16 Second
PELABUHAN KLANG, — Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup menegaskan Sabah dan Sarawak wajar menjadi antara penerima manfaat terbesar dalam pelaksanaan dasar pasaran karbon negara susulan sumbangan besar kedua-dua negeri terhadap litupan hutan Malaysia.
Beliau yang ditemui di majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Momogun Society Sabah berkata, liputan hutan negara ketika ini berada pada kadar 54.4 peratus, melebihi komitmen antarabangsa, dengan Sabah dan Sarawak mencatat sekitar 63 hingga 64 peratus.
Menurutnya, kelebihan itu membolehkan Malaysia menjana karbon kredit melalui keupayaan hutan menyerap karbon dioksida, sekali gus membantu negara memenuhi obligasi di bawah Perjanjian Paris serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
“Sabah dan Sarawak sepatutnya mendapat manfaat paling besar kerana kedua-dua negeri ini merupakan penyumbang utama kepada litupan hutan dan penjanaan karbon kredit negara,” katanya.
Arthur turut memaklumkan bahawa Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, manakala Rang Undang-Undang berkaitan perubahan iklim kini dalam proses pemuktamadan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun ini.
Dalam perkembangan lain, beliau menegaskan Malaysia tidak akan berkompromi dalam isu sisa elektronik (e-waste) dengan menolak sebarang bentuk pengimportan dari luar negara, selaras dengan komitmen di bawah Basel Convention.
Katanya, hanya sisa elektronik domestik dibenarkan untuk diproses oleh fasiliti berlesen, manakala langkah memasukkan e-waste dalam senarai larangan mutlak membuktikan ketegasan kerajaan dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Terdahulu, Arthur merasmikan majlis yang menghimpunkan warga Sabah di sekitar Lembah Klang, yang menurutnya menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan, menjaga kebajikan serta memelihara adat dan budaya masyarakat Sabah di perantauan






