KOTA KINABALU: Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Sabah diperkukuh menerusi pendekatan turun padang ke kawasan kampung bagi menjejaki pelajar berisiko, sekali gus memastikan tiada calon tercicir daripada menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengerusinya, Datuk Mohammad Arif Tun Sakaran berkata, usaha berkenaan dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dengan memberi tumpuan kepada pelajar yang dikenal pasti mempunyai masalah kehadiran.
Menurut beliau, pendekatan bersemuka bersama ibu bapa menjadi strategi utama dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan serta tanggungjawab memastikan anak-anak kekal berada dalam sistem persekolahan.
“PIBKS berperanan sebagai jambatan antara pihak sekolah dan komuniti. Kita turun bersama JPN dan PPD untuk bertemu ibu bapa serta memahami cabaran sebenar yang dihadapi pelajar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, pada Ahad.
Arif berkata, maklumat pelajar berisiko tidak menduduki SPM diperoleh melalui data kehadiran sekolah yang membolehkan tindakan intervensi dilakukan lebih awal.
Katanya, penglibatan komuniti dalam PIBKS turut memudahkan pendekatan kepada ibu bapa kerana perbincangan dapat dilaksanakan dalam suasana lebih terbuka dan mesra.
“Bila komuniti sendiri terlibat, ibu bapa lebih selesa untuk berbincang. Kita bukan sekadar menasihati, tetapi bersama-sama mencari jalan supaya anak mereka dapat terus belajar dan menduduki SPM,” katanya.
Terdahulu, Pengarah JPN Sabah, Datuk Raisin Saidin dilaporkan berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengurangkan jumlah calon SPM yang tidak hadir peperiksaan kepada dua digit tahun ini berbanding 699 calon yang direkodkan pada 2025.
Katanya, sasaran itu merupakan komitmen bersama melibatkan pelbagai pihak termasuk PPD, pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri.
“Tahun ini dan tahun berikutnya, sasaran kita adalah mengurangkan angka kepada dua digit. Jika dapat dicapai, ia membuktikan usaha bersepadu semua pihak mampu membawa perubahan,” katanya.







