Read Time:1 Minute, 33 Second
KUALA LUMPUR : Projek meroboh dan membina semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran di sini akan dilaksanakan dengan kos sebanyak RM159.79 juta menerusi kaedah Reka dan Bina.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam menyediakan kediaman lebih selesa dan kondusif kepada penjawat awam di Sabah.
Beliau berkata, projek itu dianugerahkan kepada Bangkit Energy & Pro Logistic (EM) Sdn. Bhd.
“Pelaksanaan serta pemantauan projek ini dipertanggungjawabkan kepada Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
“Saya berharap kerjasama erat antara PPK2, JKR Malaysia dan pihak kontraktor akan terus diperkukuh sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini, seterusnya memastikan ia dapat disiapkan dengan kualiti yang tinggi, menepati tempoh yang ditetapkan serta dalam lingkungan kos yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan pelantikan Pengarah Projek bagi Projek Cadangan Meroboh dan Membina Semula Kuarters Flat Persekutuan KM4, Jalan Tuaran,Kota Kinabalu, Sabah di sini pada Selasa.
Alexander berkata, JKR Malaysia telah berjaya mengeluarkan sebanyak 24 Surat Setuju Terima (SST) sejak tahun 2024 hingga kini.
Katanya, dalam tempoh dua bulan pertama tahun 2026 sahaja, sebanyak tiga SST telah dikeluarkan, termasuk bagi projek yang diserahkan pada hari ini.
“Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan penjawat awam yang kian meningkat, bukan sahaja dari aspek penyediaan tempat kediaman yang selesa, malah dalam memastikan kebajikan mereka terus terpelihara serta beban kos sara hidup dapat diringankan.
“Sehubungan itu, projek ini melibatkan pembinaan sebanyak 216 unit kuarters yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, tadika, taska, ruang parkir dan fasiliti sokongan yang lain, bagi mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih kondusif dan berkualiti,” katanyam
Menurutnya lagi, Kerajaan berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar melalui kerjasama erat daripada semua pihak, termasuk agensi pelaksana, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, sektor swasta, serta pihak kontraktor. – SABAH MEDIA






