Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Selepas 83 Saksi, Keputusan Inkues Zara Qairina Akan Diumum 15 Januari Tahun Depan – Sabah News

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner menetapkan 15 Januari 2027 bagi mengumumkan keputusan inkues kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir selepas prosiding selama 96 hari yang menyaksikan 83 saksi memberikan keterangan dan kira-kira 350 ekshibit dikemukakan.

Peguam kepada ibu Zara, Shahlan Jufry berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Koroner pada prosiding hari ini, selepas sesi keterangan saksi berakhir Rabu lalu.

Beliau berkata, mahkamah turut mengarahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya 15 Disember 2026, manakala sesi penjelasan dan hujahan lisan dijadualkan seminggu sebelum keputusan diumumkan.

“Hakim Koroner meminta semua pihak membantu mahkamah mengenal pasti sebarang percanggahan keterangan antara saksi serta bukti yang dikemukakan, termasuk memberikan gambaran keseluruhan mengenai lawatan ke sekolah SMKTDM.

“Mahkamah juga mahukan pandangan dan cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan sekolah, siasatan serta perjalanan prosiding inkues dimasukkan dalam hujahan bertulis,” katanya pada sidang media selepas prosiding, hari ini.

Shahlan berkata, pasukan peguam kini akan meneliti lebih 5,000 halaman nota prosiding, termasuk keterangan pakar psikiatri dan pakar tulisan tangan, sebelum menyediakan hujahan berkenaan.

Menurutnya, perjalanan inkues selama 96 hari disifatkan lancar meskipun berlangsung serentak dengan perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak.

“Saya percaya 96 hari bukan sesuatu yang mudah dan ini antara inkues yang agak cepat dalam sejarah Malaysia.

“Kami berharap keputusan yang akan dibuat nanti adalah adil kepada semua pihak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Shahlan turut menjelaskan jumlah kutipan dana bagi tujuan inkues itu hanya melebihi RM200,000 dan bukannya RM1 juta atau RM2 juta seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.

Katanya, dana berkenaan telah diaudit oleh akauntan bertauliah bebas pada April lalu dan digunakan khusus bagi urusan inkues, manakala pasukan peguam memberikan khidmat secara pro bono tanpa mengenakan bayaran guaman.

“Tidak ada satu sen yang kami gunakan bagi tujuan bayaran guaman. Dana itu hanya untuk inkues dan telah diaudit.

“Tiada keperluan undang-undang untuk pihak kami atau anak guam mendedahkan laporan audit berkenaan kepada umum,” jelasnya.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan saman sivil terhadap mana-mana pihak, Shahlan berkata, pasukan guaman ketika ini memberi keutamaan kepada penyediaan hujahan bertulis sebelum membincangkan langkah perundangan seterusnya bersama keluarga.

Beliau menegaskan sebarang keputusan untuk memulakan tindakan sivil adalah tertakluk kepada arahan dan persetujuan anak guam.

Sementara itu, Shahlan memaklumkan ibu Zara Qairina turut menghantar pesanan ringkas menerusi WhatsApp pagi tadi dengan menitipkan doa agar segala urusan dipermudahkan.

LEAVE A RESPONSE