Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

SK Kimanis rangkul 3 emas NEMO peringkat kebangsaan

Read Time:1 Minute, 21 Second

PAPAR: Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis mencatat kejayaan gemilang apabila merangkul tiga Anugerah Emas pada Simposium Nurturing Educators, Maximising Outcomes (NEMO) peringkat Kebangsaan Kali Ke-4, sekali gus menjadi pembuka tirai kecemerlangan inovasi sekolah bagi tahun 2026.

Guru Besar SK Kimanis Zaini Awang Jair berkata daripada jumlah tersebut, dua Anugerah Emas diraih dalam kategori Inovasi, manakala satu Anugerah Emas diperoleh melalui Kajian Tindakan, membuktikan komitmen berterusan warga pendidik SK Kimanis dalam memperkasa kualiti pendidikan melalui idea kreatif dan penyelidikan berimpak tinggi.

Simposium NEMO Kali Ke-4 dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar dan berlangsung di Majestic Ballroom, 10 Stars Cinema, Parklane City, Benoni, Papar, dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh, Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi Dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Jordan Jude Ellron.

Zaini berkata program tahunan ini bertujuan menyediakan platform perkongsian amalan terbaik, selain menggalakkan guru memperkenal dan mempromosikan hasil inovasi serta penyelidikan terkini dalam bidang pendidikan.

Antara warga pendidik yang mengharumkan nama SK Kimanis ialah Zaini Ag. Jair dan Mohd Nizam Pg Matussin yang memenangi kategori Kumpulan melalui inovasi Aplikasi eMMI.

Manakala Ustazah Marinie binti Thussin dan Zuhrainie @ Siti Zuhrainie binti Bahrin masing-masing memenangi kategori individu melalui inovasi Aplikasi MyjQAF dan Aplikasi Pengurusan Bimbingan & Kaunseling.

“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan kesungguhan dan profesionalisme warga pendidik SK Kimanis, malah menjadi bukti bahawa inovasi dan kajian tindakan mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Pencapaian gemilang ini diharapkan terus menyemarakkan budaya inovasi dalam kalangan warga pendidik serta mengangkat nama SK Kimanis sebagai sekolah yang progresif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE